Tidak menyesal pernah berkahwin, Allah uji perkara paling disayang - Zizi Kirana - Utusan Malaysia

Tidak menyesal pernah berkahwin, Allah uji perkara paling disayang – Zizi Kirana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Zizi Kirana, menegaskan dia tidak pernah menyesali perkahwinannya dengan pelakon, Yusuf Bahrin, meskipun ikatan rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian.

Zizi atau  Nur Fazelah Mad Tahil, 41, berkata, episod yang dilaluinya merupakan sebahagian daripada ujian kehidupan yang mengajarnya menerima hakikat bahawa segala yang dimiliki hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.

“Saya tidak menyesali perkahwinan kerana itu sebahagian daripada ujian yang Allah beri, iaitu untuk belajar melepaskan orang yang kita sayang. Di situ saya belajar bahawa dunia ini bukan milik kita.

“Saya terfikir, perkara yang paling kita sayang itulah sebenarnya yang Allah akan uji. Apabila Allah menguji begitu, saya perlu belajar melepaskan dan menerima bahawa itu bukan milik saya. Tiada apa yang kekal,” katanya dalam temu bual menerusi podcast Confession Bilik Gelap yang tular.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Eh itu mengakui telah melalui fasa sukar selama lebih setahun sehingga membuatkan beliau mampu berdepan proses perceraian dengan lebih tenang.

“Ramai tertanya-tanya mengapa saya kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah sehingga ada yang mengatakan saya tidak menangis. Hakikatnya, saya sudah melalui proses itu selama setahun setengah.

“Saya pernah berada di titik paling rendah sehingga tidak mampu bekerja kerana saya juga manusia biasa. Namun, saya tetap perlu melaluinya walaupun tidak pernah berdepan situasi seperti ini sebelum ini,” katanya.

Menurut Zizi, pengalaman tersebut mengajarnya menerima setiap ujian dengan hati yang lebih reda kerana percaya Allah SWT yang menguji juga akan mengurniakan hikmah di sebaliknya.

“Semakin hari saya belajar mencintai ujian itu kerana saya yakin Allah yang memberi ujian dan Dia juga akan memberikan kemanisannya.

“Semakin diuji, saya semakin tenang dan Allah mempermudahkan segala proses yang perlu dilalui, termasuk membuat keputusan untuk ke mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zizi turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak mudah menghakimi kehidupan rumah tangga individu lain.

Katanya, setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan hanya mereka yang melaluinya memahami dugaan sebenar.

“Kehidupan setiap orang berbeza. Kita semua melalui perjalanan hidup yang tidak sama, jadi jangan mudah menghakimi rumah tangga orang lain,” katanya.

Untuk rekod, Zizi dan Yusuf sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2 April lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2021 dan tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN