MELAKA: Pelancong yang bertandang ke Melaka berpeluang meninjau pemandangan negeri ini dari udara melalui pakej pelancongan udara yang bermula September ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pakej penerbangan Joy Ride itu menggunakan pesawat ringan yang berlepas dari Batu Berendam di sini selamat 40 minit.
Katanya, ia hasil kerjasama dengan International Aero Training Academy (IATAC) dan diperkenalkan bagi memeriahkan penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC).
“IATAC bagi cadangan kepada saya supaya Batu Berendam dijadikan kawasan daya tarikan pelancongan baharu dan menawarkan pakej penerbangan Joy Ride selama 40 minit menaiki pesawat yang ada di sini untuk menikmati pemandangan indah di Melaka dari udara.
“Saya harap orang yang datang ke Melaka tidak lama lagi bukan lagi tertumpu di Banda Hilir tetapi di Batu Berendam untuk menaiki pesawat ringan yang akan diaturkan oleh IATAC,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1i di Batu Berendam, semalam.
Ab. Rauf berkata, lapan penerbangan sehari disediakan untuk pakej itu manakala kadar bayaran akan diumumkan selepas rundingan dan kelulusan diperoleh. – UTUSAN