KUCHING: Isu penuaan tenaga kerja dalam sektor pertanian perlu ditangani segera menerusi langkah-langkah bagi galakan penyertaan generasi muda dalam sektor pertanian, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak.
Katanya penemuan daripada Banci Pertanian 2024 itu merekodkan keperluan mendesak untuk memperkukuh ekosistem sokongan kepada petani, khususnya dalam aspek latihan kemahiran, pemindahan teknologi dan peningkatan produktiviti.
“Situasi ini juga menuntut pelaksanaan dasar yang bersifat menyeluruh dan bersepadu, sejajar dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang memberi tumpuan kepada sekuriti makanan, kemampanan dan daya saing sektor agromakanan,” katanya dalam kenyataan sempena Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Sarawak di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom serta turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Menjelas lanjut, DOSM Sarawak berkata Banci Pertanian 2024 merekodkan sebanyak 147,414 pegangan pertanian di Sarawak pada 2023, dengan 98.6 peratus (145,378 pegangan) dimiliki individu dan 1.4 peratus (2,036 pegangan) dimiliki pertubuhan.
Katanya hampir kesemua individu (99.9 peratus) yang terlibat dalam aktiviti pertanian merupakan warganegara dan 80 peratus daripadanya adalah lelaki.
Manakala daripada segi umur, 43.6 peratus pegangan individu dimiliki oleh mereka yang berumur 60 tahun ke atas, diikuti 37.3 peratus oleh golongan umur 46 hingga 59 tahun iaitu 80.9 peratus daripada pemilik pegangan berumur 46 tahun ke atas.
Sementara itu, DOSM Sarawak berkata kelapa sawit kekal sebagai penyumbang utama kepada sektor pertanian di Sarawak dan Malaysia.
Katanya pada tahun 2023, nilai jualan kelapa sawit negara mencatatkan sebanyak RM83.30 bilion, dengan Sarawak menyumbang RM 18.61 bilion (22.3 peratus) daripada jumlah tersebut.
Manakala di peringkat negeri, kelapa sawit mencatatkan 79 peratus daripada keseluruhan nilai jualan sektor pertanian Sarawak, menjadikannya komoditi dominan negeri ini. – UTUSAN










