PETALING JAYA: Bencana banjir yang melanda negara pada tahun lalu mengakibatkan negara kerugian sebanyak RM800 juta dengan Johor catat jumlah tertinggi iaitu RM275 juta.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, jumlah kerugian itu bersamaan 0.04 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, lebih rendah berbanding RM1.0 bilion (0.06 peratus KDNK nominal) pada 2022.
Beliau berkata, kerugian itu membabitkan tempat kediaman berjumlah RM168.3 juta, kenderaan (RM22.3 juta), pembuatan (RM10.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta), pertanian (RM120.6 juta) dan aset awam dan infrastruktur (RM380.7 juta).
“Dari segi tempat kediaman, Johor mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM121.9 juta, diikuti Kelantan (RM15.4 juta) dan Sabah (RM11.0 juta). Bagi negeri Johor, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Batu Pahat (RM89.2 juta), diikuti Segamat (RM18.3 juta) dan Muar (RM7.1 juta).
“Di Kelantan, Pasir Mas merupakan daerah tertinggi bagi kerugian tempat kediaman sebanyak RM11.5 juta, diikuti Tanah Merah (RM1.3 juta) dan Tumpat (RM1.0 juta).
“Seterusnya, daerah Kota Marudu dan Pitas merekodkan kerugian tertinggi bagi negeri Sabah masing-masing berjumlah RM4.8 juta, diikuti Kudat dan Telupid, masing-masing merekodkan kerugian RM0.4 juta,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd. Uzir berkata, terdapat tiga negeri mencatatkan kerugian tertinggi bagi kenderaan iaitu Johor sebanyak RM15.9 juta, Selangor (RM1.8 juta) dan Sabah (RM1.6 juta).
“Daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di Johor adalah Batu Pahat (RM12.3 juta), diikuti Segamat (RM1.2 juta) dan Muar (RM1.1 juta). Sementara itu, Petaling di Selangor mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta.
“Daerah selebihnya mengalami kerugian kurang daripada RM0.1 juta. Kota Marudu merekodkan kerugian tertinggi bagi Sabah sebanyak RM1.2 juta, diikuti Pitas (RM0.3 juta) dan Kudat (RM0.1 juta),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Johor turut merekodkan kerugian tertinggi dalam sektor pembuatan akibat bencana tersebut yang berjumlah RM10.3 juta dengan Segamat merupakan daerah tertinggi mengalami kerugian sebanyak RM9.5 juta.
“Johor juga mencatatkan jumlah kerugian premis perniagaan berjumlah RM29.8 juta. Kerugian tertinggi bagi premis perniagaan di Johor adalah di daerah Segamat berjumlah RM25.6 juta diikuti Batu Pahat (RM3.2 juta), dan Muar serta Tangkak masing-masing kerugian RM0.2 juta.
“Kelantan merupakan negeri kedua tertinggi bagi kerugian premis perniagaan dengan kerugian RM19.8 juta, diikuti Terengganu (RM2.9 juta).
Katanya, bagi Kelantan, Pasir Mas adalah daerah tertinggi dengan jumlah RM15.1 juta, diikuti Tanah Merah (RM1.7 juta) dan Tumpat (RM0.9 juta).
“Di Terengganu pula, kerugian premis perniagaan di daerah Hulu Terengganu berjumlah RM0.9 juta, diikuti Kuala Nerus (RM0.5 juta). Seterusnya adalah Setiu dan Kuala Terengganu masing-masing berjumlah RM0.4 juta,” jelasnya. – UTUSAN









