NARATHIWAT (THAILAND): Nasib penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, suami dan empat rakannya masih tergantung kerana penahanan mereka boleh disambung tanpa had masa.
Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh berkata, ia bergantung kepada keputusan mahkamah untuk membenarkan atau sebaliknya permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwa raya.
“Tiada satu tempoh tetap yang diberikan kepada pendakwa raya untuk memohon melanjutkan tempoh memfailkan rayuan rasmi terhadap sesuatu keputusan kes jenayah termasuk dadah.
“Saya tidak mengikuti perkembangan kes mereka. Tetapi secara umumnya, bergantung atas mahkamah. Jika mahkamah terima alasan pendakwa raya, maka tempoh tahanan (sebelum pendakwa raya memfailkan rayuan) akan disambung sebulan demi sebulan.
“Mengikut undang-undang Thailand, kali pertama suspek ditangkap, mereka ditahan selama 48 jam di lokap balai polis sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman,” katanya ketika ditemui semalam.
Kamonsak yang juga Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5) berkata, tempoh tahanan reman adalah selama tiga bulan bagi membolehkan polis melakukan siasatan dan kemudian suspek dihadapkan ke Mahkamah Pertama.
“Berapa lama tempoh perbicaraan bergantung kepada mahkamah. Kemudian, jika mahkamah mendapati tertuduh bersalah atau sebaliknya peguam atau pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan penangguhan keputusan untuk memfailkan rayuan.
“Jika tidak bersalah dan tertuduh pula adalah rakyat asing, mereka tidak dibebaskan terus tetapi ditahan di penjara sementara menunggu pendakwa raya memfailkan rayuan. Kalau penduduk tempatan, mereka dibebaskan dengan jaminan,” katanya.
Kamonsak yang juga pengamal undang-undang tempatan berkata, dalam tempoh menunggu rayuan rasmi itu pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.
Katanya, perbicaraan sesuatu kes dadah di Thailand hanya melibatkan dua peringkat iaitu Mahkamah Pertama dan Mahkamah Rayuan.
“Habis perbicaraan di Mahkamah Pertama, jika pendakwa raya atau peguam tidak puas hati dengan keputusan, akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Biasanya perbicaraan di mahkamah itu tidak lebih setahun. Biasanya perbicaraan kes dadah tidak sampai ke Mahkamah Agung. Tetapi kena ingat bahawa semuanya bergantung kepada mahkamah. Tidak ada tempoh masa, mahkamah boleh buat keputusan. Kalau bebas maka mereka bebas,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah
Narathiwat di sini, perlu kembali semula ke penjara.-UTUSAN.










