PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa membuka kertas siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador susulan pendedahan terbaharu yang didakwa mencukupi untuk tindakan lanjut.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd. Rafizi Ramli berkata, maklumat berkaitan lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah membabitkan Farhash tidak akan mati begitu sahaja.
Beliau berkata, pendedahan setakat ini disertakan dengan dokumen dan rakaman audio.
“Saya percaya lebih banyak maklumat akan menjadi pengetahuan umum selepas ini.
“Kontroversi demi kontroversi yang ditimbulkan dan dikaitkan dengan Farhash perlu ditangani segera dan penafian mentah tidak lagi akan diterima oleh rakyat.
“Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu turut berkata, adalah sangat berbahaya jika kerajaan dilihat tidak konsisten atau pilih bulu dalam membanteras rasuah, tambahan pula melibatkan tokoh yang rapat dengan kepimpinan tertinggi.
“Kita boleh menerima pandangan bahawa reformasi pentadbiran yang dilaksanakan akan mengambil masa untuk mengubah budaya agar amalan rasuah dibanteras sehingga ke akar umbi.
“Namun, adalah sangat berbahaya jika pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak konsisten dan memilih bulu dalam membanteras rasuah, sekiranya ada kes-kes besar yang melibatkan pimpinan Kerajaan Perpaduan atau tokoh-tokoh yang rapat dengan beliau,” katanya.
Mohd. Rafizi berkata, kontroversi yang membabitkan Farhash perlu ditangani secara serius kerana dikhuatiri boleh mencemarkan imej kerajaan dalam usaha membanteras rasuah.
“Persepsi awam terhadap integriti kerajaan turut bergantung kepada konsistensi tindakan yang diambil terhadap semua pihak, termasuklah individu rapat dengan kepimpinan tertinggi.
“Jika Perdana Menteri berasa pelik mengapa usaha membanteras rasuah tidak disambut sepenuhnya, maka perlu diakui ada perkara yang mencacatkan usaha tersebut di mata rakyat.
“Contohnya, tuduhan terhadap Farhash berhubung lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan dengan penafian semata-mata. Ia melibatkan dokumen dan rakaman audio yang memerlukan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










