PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendakwa kontraktor kebersihan di sekolah-sekolah seluruh enam negeri dan Wilayah Persekutuan masih belum menerima bayaran bagi kerja-kerja yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kontraktor terlibat merangkumi negeri Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan yang kini terkesan akibat kelewatan pembayaran oleh pihak kerajaan.
Beliau mendakwa, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan Arahan Perbendaharaan (AP58) dikeluarkan penghujung tahun lalu, menyebabkan proses pembayaran menjadi semakin rumit dan berpanjangan.
“Walaupun penangguhan bayaran bukanlah perkara baharu, tetapi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kelewatan ini menjadi terlalu lama dan tidak munasabah, malah, saya dimaklumkan bahawa pelarasan bayaran susulan kenaikan gaji minimum juga masih belum dilunaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Wan Saiful, kelewatan tersebut bukan sahaja menjejaskan operasi kontraktor, bahkan memberi tekanan kewangan kepada para usahawan yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat Bumiputera.
“Ramai usahawan terpaksa berhutang atau mengambil kemudahan factoring untuk menampung aliran tunai yang terganggu, menyebabkan mereka menanggung faedah tambahan yang sepatutnya tidak berlaku jika kerajaan lebih cekap,” katanya.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, turut mempersoalkan tahap keprihatinan kerajaan terhadap nasib ribuan pekerja kontrak yang bertugas dalam sektor kebersihan sekolah, yang kini turut terkesan akibat kelewatan berkenaan.
“Saya mengangkat isu ini sejak tahun 2023 namun masih tiada penyelesaian tuntas daripada kerajaan.
“Nampaknya kerajaan ini bukan sahaja gagal dalam aspek pengurusan kewangan, tetapi juga tidak prihatin terhadap beban yang ditanggung usahawan kecil yang menjalankan kontrak kerajaan,” katanya.
Beliau turut menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek segera menyelesaikan isu tunggakan bayaran, malah turut mendesak Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menjalankan audit terhadap kelemahan ketara dalam proses pembayaran kerajaan kepada kontraktor. – UTUSAN