Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan tidak disenangi

Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan tidak disenangi

ABD. Rashid Yob (tengah) bersama petani di Kampung Alor Belat, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) tidak dipersetujui golongan petani yang bimbang akan memberi kesan buruk terhadap hak, tradisi dan kelangsungan hidup puluhan ribu pesawah kecil di seluruh negara.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abd. Rashid Yob berkata, hak pembiak baka korporat akan diperluas secara melampau, manakala hak petani untuk bebas mengguna, berkongsi dan menjual benih daripada hasil tuaian mereka sendiri akan dihapuskan jika undang-undang itu dipinda.

Katanya, amalan penyimpanan untuk kegunaan musim berikutnya, berkongsi dengan jiran atau menjualnya secara kecil-kecilan yang merupakan tulang belakang kepada kelestarian ekonomi dan sosial komuniti pesawah akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah pindaan itu.

“Ketika ini, amalan tradisi ini masih subur diamalkan. Sebagai contoh, di negeri Jelapang Padi Kedah sahaja, dianggarkan hampir 30 peratus pesawah masih melakukan amalan menyimpan, mengguna semula dan berkongsi benih padi setiap musim.

“Amalan warisan ini dilakukan atas beberapa sebab mustahak antaranya menjimatkan kos di mana pesawah dapat mengurangkan kos input pertanian yang semakin melambung tinggi dengan tidak perlu membeli benih baharu daripada syarikat setiap kali musim penanaman bermula,” katanya di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan pindaan terhadap akta berkenaan akan dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu.

Pindaan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung Julai ini bertujuan untuk membolehkan Malaysia menyertai Konvensyen Antarabangsa Bagi Melindungi Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV 91).

Abd. Rashid berkata, penyertaan Malaysia ke dalam UPOV 91 berupaya memusnahkan ekosistem ekonomi dan sosial ini dan memaksa pesawah untuk membeli benih berdaftar daripada syarikat pembiak baka pada setiap musim. 

“Ini bukan sahaja akan meningkatkan kebergantungan pesawah kepada syarikat-syarikat gergasi, tetapi ia juga secara langsung akan menyebabkan kenaikan harga benih padi di pasaran.

“Apabila pilihan pesawah dihadkan dan monopoli dibenarkan berleluasa, syarikat-syarikat ini bebas untuk meletakkan harga yang tinggi, sekali gus meningkatkan lagi kos sara hidup pesawah yang sudah sedia terhimpit,” katanya.

Tambah beliau, faktor lain yang menyebabkan amalan warisan itu perlu dikekalkan adalah kerana jaminan kualiti benih yang sememangnya diketahui para pesawah kerana kepakaran mereka untuk memilih benih terbaik daripada tuaian sendiri yang berkualiti tinggi serta sesuai dengan keadaan tanah digunakan semula.

“Satu perkara lagi adalah sebagai pendapatan tambahan. Penjualan benih padi yang telah diproses secara kecil-kecilan kepada pesawah lain menjadi sumber pendapatan sampingan yang amat penting, terutamanya bagi keluarga pesawah yang berpendapatan rendah,” katanya.

Justeru, beliau menggesa ahli-ahli Parlimen yang prihatin akan nasib pesawah dan masa depan pertanian negara untuk menolak rang undang-undang itu sekiranya dibentangkan kelak agar amalan tradisi yang menopang hidup petani selama turun-temurun tidak dihalang dalam sekelip mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN