Kajian menyeluruh industri padi, beras lebih wajar - PPBMM

Kajian menyeluruh industri padi, beras lebih wajar – PPBMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Isu kenaikan harga beras yang menjadi perhatian ketika ini tidak seharusnya dilihat secara terpisah daripada keseluruhan ekosistem industri padi dan beras negara, sebaliknya kerajaan perlu melaksanakan kajian menyeluruh terhadap seluruh masalah.

Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop berkata, meskipun bersetuju dengan cadangan menaikkan harga beras putih tempatan (BPT), tetapi penyelesaian itu dibimbangi tidak kekal lama sekiranya hasil pengeluaran tidak ditingkatkan.

Katanya, perubahan harga beras juga hanya sekadar menyelesaikan isu itu sahaja namun industri terus kekal di takuk lama seperti pesawah terpaksa berhutang dengan orang tengah untuk mengerjakan sawah atau menampung kos sara hidup.

“Jadi sebab itu saya lebih suka sebut masalah industri padi dan beras yang lebih menyeluruh dalam sektor ini termasuk mentaliti pesawah bagi meningkatkan hasil padi berbanding hanya fokus kepada harga beras atau harga padi.

“Apa yang perlu kita baiki adalah industri itu yang merangkumi aspek saliran, pengairan, jadual tanaman, benih padi dan bahan input, kemudian hasil pengeluaran dan barulah dapat ditentukan harga.

“Kalau industri tidak dikaji secara menyeluruh isu harga beras tidak akan bertahan lama, dua tiga tahun nanti timbul semula masalah sama. Jadi, kena perbaiki industri ini agar berdaya tahan sehingga 20 tahun seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad Termizi berkata, pengeluaran padi yang berkualiti juga akan menjamin pendapatan lebih baik kepada pesawah, sebelum harga beras yang ditawarkan di pasaran berpatutan kepada semua pengguna termasuk pesawah itu sendiri.

Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini adalah hasil setiap tan padi yang dihantar ke kilang untuk diproses menjadi beras hanya purata sekitar 55 peratus, manakala bakinya merupakan padi yang tidak bermutu.

“Katakan minggu depan Perdana Menteri umum harga beras naik RM5 sekilogram, tapi adakah satu ekar (0.4 hektar) sawah boleh naikkan hasil padi sehingga dua tan atau satu hektar boleh capai hasil lapan tan seperti yang disasar.

“Maka kalau hasil tidak meningkat, ia tidak akan membantu industri padi dan beras negara agar lebih stabil dan menaikkan kadar sara diri (SSL) yang mencukupi supaya kita tidak perlu terlalu bergantung kepada beras import,” katanya.

Ujarnya, harga lantai belian padi iaitu RM1,500 per tan ketika ini dilihat setimpal untuk pesawah yang memperolehi tambahan RM500 di bawah subsidi harga padi bagi setiap tan.

Sementara itu, beliau juga meminta kerajaan untuk melihat mengapa tanaman padi tidak lagi menjadi kerjaya pilihan anak muda terutamanya disebabkan pulangan upah atau hasil yang tidak setimpal dengan kerja mereka selain digambarkan masa depan yang samar.

“Malah, dulu ada 300 buah kilang Melayu, sekarang tinggal 10, pemborong Melayu sekitar Perak yang dulu 300 pun tapi kini hanya tinggal saya seorang kerana industri padi dan beras kita tidak berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN