Nilai semula subsidi RM150j kepada pengilang padi

Nilai semula subsidi RM150j kepada pengilang padi

ABDUL Rashid Yob (kanan) dan Yusrizal pada sidang akhbar berkaitan beras putih tempatan di Alor Setar, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan digesa supaya menilai semula keputusan meneruskan peruntukan subsidi sebanyak RM150 juta kepada pengilang padi yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada mereka mahupun rakyat. 

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata, bantuan itu sepatutnya dihentikan kerana didakwa tidak menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi rakyat dan pesawah iaitu kos pengeluaran yang semakin meningkat terutama selepas penyelarasan harga diesel tahun lepas. 

“Kami lihat subsidi RM150 juta kepada 13 pengilang padi selama enam bulan ini tidak beri kesan positif kepada pengguna sebenarnya. Ia hanya menguntungkan pengilang sedangkan pesawah terus menanggung kenaikan kos sehingga 55 peratus.

“Hasil libat urus kami dengan kementerian mendapati pengguna sendiri tidak beli beras putih tempatan (BPT) yang berharga RM2.60 sekilogram (kg) ini sebab ia tidak berkualiti seperti nasi cepat basi dan beras hancur terlalu banyak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, harga belian padi pada kadar RM1,500 per tan masih tidak seimbang dengan kos sebenar yang ditanggung pesawah sekali gus menekan golongan itu yang menjadi tulang belakang pengeluaran beras negara. 

“Sebagai contoh insentif pembajakan dan penuaian yang dijanjikan pada Jun 2024 sehingga kini belum diterima oleh petani sebaliknya kementerian memaklumkan pembayaran hanya bermula musim ini. 

“Itu bermakna dua musim terdahulu langsung tidak dibayar. Kami tanggung kos sejak Jun 2024, tetapi bayaran hanya dibuat untuk musim semasa. Ini tidak adil kerana kos lama kami terpaksa tampung sendiri,” katanya. 

Selain itu, beliau menambah, ura-ura tentang langkah kerajaan mahu menghentikan pemberian elaun sara hidup pesawah sebanyak RM600 setiap musim selepas diberikan secara konsisten sejak tahun lepas menambah kekecewaan mereka.

“Kalau kerajaan kata elaun ini one-off, itu tak betul. Sebab sejak Julai 2023 sehingga 2024 ia dibayar setiap musim. Tiba-tiba 2025 dihentikan tanpa penjelasan, ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pesawah. 

“Selain itu berkaitan skim insurans tanaman bernilai RM50 juta yang diumumkan kerajaan, namun sehingga kini petani belum dapat. Jadi kami cadangkan peruntukan RM150 juta itu disalurkan kepada pesawah berbanding pengilang,” katanya. 

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Yusrizal Yusoff, berkata, pihaknya sering menerima rungutan daripada pengguna berkaitan BPT yang sukar didapati di pasaran selain tidak berkualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN