PETALING JAYA: Kerajaan perlu menilai semula struktur industri padi dan beras yang kini bersifat sangat monopolistik bagi memastikan nasib pesawah benar-benar terbela.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, monopoli dalam pembelian padi dan pengedaran beras mengehadkan pilihan pesawah serta menekan harga di peringkat ladang.
Beliau berkata, struktur ini wajar dibuka secara terkawal bagi mewujudkan persaingan sihat yang memberi manfaat kepada pesawah dan pengguna.
Katanya, Elaun Sara Hidup Pesawah atau Elaun Tunggu Tuai (ETT) sebanyak RM600 semusim masih tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
“Elaun ini pernah diberikan pada Julai 2023 dan diteruskan pada 2024, tetapi ditarik pada 2025 sehingga menyebabkan pesawah ternanti-nanti hingga ke hari ini.
“Kami mencadangkan agar elaun ini dimasukkan semula secara tetap dan bukannya secara sekali beri seperti nelayan dan penoreh getah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu menyokong kebebasan pesawah untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi tradisi serta varieti baharu yang dihasilkan sendiri.
“Amalan ini sebahagian daripada kedaulatan petani supaya mampu mengurangkan kebergantungan kepada syarikat besar dan wajar diberi insentif bagi memelihara biodiversiti serta memperkasa komuniti pesawah,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan peruntukan RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah, hanya 30 peratus disalurkan terus kepada pesawah melalui Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 bagi setiap tan metrik padi yang dihasilkan.
Menurutnya, baki peruntukan diberikan kepada subsidi lain seperti baja, racun, benih serta perkhidmatan bajak dan tuai yang memberi manfaat utama kepada vendor dan syarikat pembekal input pertanian, bukan pesawah secara langsung.
Katanya lagi, PeSAWAH bersedia untuk bekerjasama dan berdialog dengan kerajaan bagi merealisasikan perubahan ini demi kelestarian industri padi dan beras serta kedaulatan makanan negara.
“Walaupun kerajaan menaikkan insentif pembajakan kepada RM160 sehektar dan pengenalan insentif penuaian RM50 sehektar, pengumuman ini bukan baharu dan pelaksanaannya perlu disegerakan.
“Setiap peningkatan insentif atau subsidi sering diikuti dengan kenaikan kos input sehingga menyebabkan keuntungan bersih pesawah tidak banyak berubah.
“Jumlah perbelanjaan tahunan yang besar amat dihargai, tetapi tidak lestari. Industri ini memerlukan perubahan struktural menyeluruh terutama berkenaan mekanisme penentuan harga padi dan beras yang adil dan telus,” katanya. – UTUSAN










