KUBANG PASU: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bertanggungjawab terhadap Sungai Korok, di sini menyokong usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di sepanjang sungai itu.
Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, agensi itu menyambut baik saranan pelbagai pihak untuk mempertingkat elemen keselamatan di sepanjang sungai khususnya di lokasi-lokasi yang berisiko.
“Reka bentuk kawasan ini memang dibuat jalan bersebelahan sungai itu sejauh kira-kira 20 kilometer. Memandangkan ini bukan pertama kali jadi kami memang menyokong dengan melihat kajian-kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di mana kawasan-kawasan yang selalu berlaku nahas.
“MADA juga mahu memastikan faktor keselamatan di sini terjamin dengan pemasangan infrastruktur yang boleh mengurangkan risiko kemalangan lebih teruk di kawasan tertentu,” katanya selepas melawat keluarga enam beranak yang terkorban dalam Sungai Korok, di sini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan meningkatkan tahap keselamatan di laluan sepanjang Sungai Korok bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama kenderaan terbabas ke dalam sungai.
Beliau berkata, infrastruktur seperti pagar penghadang dan lampu jalan di kawasan itu akan diteliti untuk diutamakan demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Dr. Ismail berkata, Sungai Korok berfungsi menyalurkan air ke kawasan tanaman padi di sekitar itu termasuk sehingga ke Perlis.
“Sungai Korok juga akan menyalurkan air ke loji rawatan air (LRA) sekiranya diperlukan dan memandangkan sekarang ini musim menanam padi air di sungai ini berada pada paras biasa iaitu sedalam kira-kira enam meter.
“Namun, kami juga ada bertanya kepada pihak berkuasa sama ada perlu untuk merendahkan paras air bagi membantu kerja-kerja pencarian kereta mangsa yang sejak awal disyaki terbabas ke dalam sungai ini,” katanya.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak, Putra Rayyan Nur Izat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan maut di dalam sungai itu.
Ia susulan kereta Proton Iswara dinaiki mereka terbabas ke dalam Sungai Korok pada awal pagi, Sabtu lalu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Bohor Karang dari rumah keluarga di Taman Sri Aman, Jitra. – UTUSAN