MADA harap peruntukan RM48 juta lulus dalam belanjawan 

MADA harap peruntukan RM48 juta lulus dalam belanjawan 

ISMAIL Salleh (tengah) melihat jentera menuai padi ketika Majlis Peluncuran Jentera Pusat Latihan Beras MADA di Kompleks Latihan MADA, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berharap kerajaan meluluskan peruntukan penyelenggaraan sistem pengairan dan infrastruktur berjumlah RM48 juta serta insentif RM600 kepada pesawah dalam Belanjawan 2026, bulan depan.

Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, penyelenggaraan tali air dan sistem pengairan perlu dilakukan sekurang-kurangnya empat kali setahun membabitkan 44 blok lama dan blok baharu yang sedang dibangunkan agensi itu. 

Tambahnya, sementara insentif tunai RM600 yang tercicir dalam belanjawan tahun ini perlu dikembalikan kepada pesawah dalam usaha meringankan beban mereka. 

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini sangat penting bukan sahaja ketika musim hujan, tetapi juga untuk memastikan bekalan air bagi aktiviti penanaman padi sentiasa mencukupi.

“Insentif RM600 itu juga penting bagi meringankan beban pesawah cuma bajet untuk ini daripada Kementerian Kewangan, bukan MADA. Namun MADA berusaha untuk menjadikan insentif ini tetap dan kita tidak perlu memohon setiap tahun. 

“Jika nelayan dan pengusaha lain menerima insentif tetap, pesawah yang menjadi tonggak keterjaminan makanan negara juga wajar diberikan keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Jentera Pusat Latihan Beras MADA (MRTC) di Kompleks Latihan Mada, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain kata Ismail, MADA kini dalam mod siap siaga untuk menghadapi fenomena peralihan monsun yang dijangka berlaku susulan La Nina bagi mengurangkan kesan kepada tanaman padi.

“MADA akan memastikan kesemua infrastruktur utama termasuk struktur kawalan dan ban saluran utama diselenggara bagi memastikan kesempurnaan fungsi diberi keutamaan serta meminimumkan risiko kerosakan dan mengoptimumkan operasi kawalan bencana. 

“Sehingga kini proses menuai padi bagi musim ini sudah mencapai 50 peratus dan dijangka selesai hujung Oktober. Kita fokus untuk melindungi tanaman, harta benda dan kesejahteraan pesawah daripada sebarang risiko kerosakan sekiranya berlaku banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN