Paras air empangan di Kedah stabil, bekalan terjamin

Paras air empangan di Kedah stabil, bekalan terjamin

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Paras takungan tiga empangan utama kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berada pada tahap stabil sekali gus menjamin bekalan air bagi penanaman padi Musim 1/2025, keperluan domestik dan industri di Kedah serta sebahagian selatan Perlis.

MADA dalam kenyataan memaklumkan, jumlah takungan semasa Empangan Pedu, Muda dan Ahning adalah 789.06 juta meter padu atau 639,694 ekar kaki.

Katanya, bacaan yang dicatatkan pada 5 Ogos itu adalah lebih tinggi berbanding tarikh sama tahun lalu yang ketika itu hanya berjumlah 633.42 juta meter padu atau 513,306 ekar kaki.

“Kedudukan semasa paras air di Empangan Pedu adalah 88.19 meter dengan jumlah takungan sebanyak 53.34 peratus, diikuti Empangan Muda 92.20 meter (33.84 peratus) dan Empangan Ahning 101.61 meter (58.58 peratus.

“Pada masa kini pelepasan air empangan sedang dilaksanakan dengan kadar pelepasan sebanyak 3,500 kaki padu sesaat bagi memenuhi keperluan penanaman padi,” katanya di sini, hari ini. 

Sementara itu, MADA memaklumkan, kemajuan aktiviti penanaman padi sehingga 29 Julai lalu telah mencapai 99,832 hektar atau 99.2 peratus dengan 6,906 hektar atau 6.9 peratus daripadanya telah berbunga.

“Manakala seluas 21 hektar atau 0.02 peratus berada pada peringkat masak. Berdasarkan unjuran yang dibuat, takungan Empangan Pedu akan berada pada 62 peratus atau 542,000 ekar kaki pada penghujung September ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN