KULAI: Kerajaan mencari solusi terbaik termasuk menambah baik sistem penjawatan dan kebajikan petugas kesihatan bagi mengelakkan pegawai perubatan tempatan berhijrah ke luar negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah ini bagi memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik buat pegawai perubatan berkenaan.
Katanya, langkah itu penting memandangkan jururawat dan doktor di negara ini yang sering ‘dilamar’ hospital dan syarikat perubatan dari Singapura yang menjamin gaji yang lebih lumayan.
“Saya lihat isu mengenai kedatangan syarikat ataupun hospital-hospital Singapura ke Malaysia untuk menarik doktor-doktor tempatan merupakan cabaran memandangkan ini adalah pasaran terbuka.
“Kerajaan akan tetap mempertahankan kerana untuk menghasilkan pegawai perubatan ataupun graduan perubatan ini bukan percuma, kita berikan subsidi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia, di sini hari ini.
Rabu lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dilaporkan sedang menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Lukanisman berkata, isu ‘on-call’, kelelahan, buli di hospital serta aspek kebajikan petugas kesihatan kini diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan dalam memberi keselesaan kepada mereka di tempat kerja.
“Walaupun kerajaan belum mampu menawarkan gaji setimpal seperti negara luar, namun kita sedang menambah baik sistem supaya sekurang-kurangnya dapat memberi keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance) lebih baik.
“Isu-isu seperti ‘on-call’, kelelahan pegawai perubatan serta masalah buli di hospital sedang dibincangkan kerana ia bukan perkara yang boleh kita selesaikan hanya melalui kempen. Ia perlu ditangani secara serius dan menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN