259 doktor, 95 jururawat di Sarawak letak jawatan

259 doktor, 95 jururawat di Sarawak letak jawatan

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 259 pegawai perubatan dan 95 jururawat dilaporkan meletak jawatan semasa berkhidmat di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sarawak dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan menyedari kadar kekosongan petugas kesihatan di Sarawak, khususnya pegawai perubatan lebih tinggi berbanding negeri lain disebabkan pelbagai faktor termasuk cabaran penempatan di kawasan luar bandar.

“Selain pegawai perubatan, kekurangan jururawat turut dihadapi di hampir semua hospital KKM di seluruh negara berikutan jumlah keluaran pelatih yang masih rendah daripada Institut Latihan KKM dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS–Igan) mengenai jumlah pegawai perubatan dan jururawat di Sarawak yang meletak jawatan sejak lima tahun lalu serta langkah-langkah menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan, khususnya di luar bandar.

Dzulkefly berkata, penempatan tenaga kerja kesihatan di Sarawak menunjukkan peningkatan setiap tahun bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Katanya, pada 2020, seramai 39 pegawai perubatan dan enam jururawat ditempatkan diikuti 28 pegawai perubatan dan 13 jururawat pada 2021.

“Jumlah itu meningkat kepada 41 pegawai perubatan dan 17 jururawat pada 2022 serta 68 pegawai perubatan dan 34 jururawat pada 2023 sebelum mencapai jumlah tertinggi pada 2024 dengan 83 pegawai perubatan dan 25 jururawat.

“Sehingga 30 Jun 2025, terdapat 27,209 petugas kesihatan berkhidmat di Sarawak terdiri daripada 685 pakar perubatan, 3,029 pegawai perubatan, 6,479 jururawat, 1,699 jururawat masyarakat serta 15,317 petugas daripada skim perkhidmatan lain,” katanya.

Katanya, kuota penempatan pegawai perubatan tetap adalah lebih tinggi di Sarawak berbanding negeri lain dan diberikan keutamaan penempatan kepada anak jati Sarawak di fasiliti kesihatan negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN