SUBANG JAYA: Landskap pengimejan perubatan negara membuka era baharu apabila Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway di sini menjadi fasiliti kesihatan pertama di Malaysia memperkenalkan pengimbas CT pengiraan foton.
Peralatan generasi baharu itu bukan sekadar menambah kecanggihan dalam dunia diagnostik malah menetapkan penanda aras baharu daripada segi ketepatan, keselamatan radiasi dan keselesaan pesakit.
Teknologi tersebut menawarkan resolusi ultra tinggi untuk pelbagai disiplin klinikal, termasuk kardiologi, neurologi, onkologi, muskuloskeletal, pediatrik dan pulmonologi.
Langkah ini sekali gus mengukuhkan kedudukan SMC dalam kelompok institusi perubatan paling inovatif di rantau ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, teknologi tersebut membawa rangkaian manfaat klinikal yang mampu meningkatkan kualiti penjagaan pesakit secara langsung.
“Antara kelebihan ketara peralatan itu termasuk keupayaan mengesan lesi halus dan ketidaknormalan pada peringkat lebih awal.
“Selain itu ia memberikan perbezaan yang lebih jelas antara tisu sihat dan tisu berpenyakit. Ia turut menawarkan imej lebih tajam walaupun bagi pesakit yang mempunyai implan logam.
“Pengimbas generasi baharu itu juga mengurangkan keperluan penggunaan bahan kontras, sekali gus lebih selamat untuk pesakit yang mempunyai sensitiviti tertentu atau masalah berkaitan fungsi buah pinggang,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pengimbas CT Pengiraan Foton Pertama Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, pengenalan teknologi itu seiring dengan misi Sunway Healthcare Group untuk memberikan tahap penjagaan tertinggi berasaskan inovasi dan kecemerlangan klinikal.
“Teknologi tersebut bukan sahaja memudahkan doktor membuat keputusan rawatan dengan lebih yakin malah meningkatkan pengalaman pesakit melalui hasil imbasan berkualiti tinggi serta proses yang lebih selesa,” katanya.
Pengimbas ini merupakan hasil teknologi Siemens Healthineers, selepas lebih sedekad penyelidikan dalam pengesan CT pengiraan foton.
Pengarah Urusan Siemens Healthineers Malaysia, Siow Ai Li berkata, kerjasama dengan SMC menandakan satu lonjakan besar dalam usaha membawa standard global pengimejan perubatan ke Malaysia.
“Sistem tersebut turut disokong perisian berasaskan AI seperti myExam Companion dan GO Technologies, yang memastikan konsistensi dan ketepatan setiap imbasan,” katanya. – UTUSAN










