Ramai doktor tolak penempatan tetap di luar bandar, pedalaman Sarawak

Ramai doktor tolak penempatan tetap di luar bandar, pedalaman Sarawak

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui keengganan sebahagian pegawai perubatan untuk menerima penempatan di fasiliti ditetapkan khususnya di luar bandar dan pedalaman Sarawak memberi kesan ketara terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pada tahun ini, KKM telah menawarkan pelantikan tetap kepada 764 pegawai perubatan kontrak bagi penempatan di Sarawak iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain termasuk di Semenanjung.

Katanya, sehingga November 2025, hanya 432 atau 57 peratus pegawai perubatan kontrak melapor diri ke penempatan lantikan tetap di Sarawak.

“Antara cabaran dalam menguruskan penempatan petugas kesihatan adalah kesediaan petugas untuk berkhidmat di mana-mana lokaliti termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

“Isu ini turut dialami kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM) yang berdepan penolakan penempatan oleh pegawai perkhidmatan pendidikan.

“Keengganan pegawai perubatan untuk ditempatkan di fasiliti ditetapkan sememangnya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan terutama di luar bandar dan pedalaman Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai mekanisme kementerian menangani masalah kekurangan doktor dan pegawai perubatan di Sarawak memandangkan ramai menolak penempatan terutamanya di pedalaman.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM dengan kerjasama agensi pusat telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kesinambungan jaminan kerjaya pegawai perubatan dalam perkhidmatan awam termasuk meningkatkan perjawatan tetap serta mempermudah proses pelantikan tetap.

Menurutnya, masih terdapat pegawai perubatan kontrak yang memilih kekal dalam perkhidmatan kontrak atau meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan penempatan lantikan tetap KKM.

“Bagi menarik minat petugas berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman, pelbagai mekanisme sedang dilaksanakan bagi meningkatkan daya tarikan penempatan serta memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.

“Antara langkah utama adalah pemberian Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan, antara RM500 hingga RM2,500 sebulan bergantung gred serta lokasi fasiliti sama ada di bandar atau luar bandar.

“Insentif itu bertujuan menarik lebih ramai pakar berkhidmat di wilayah yang mempunyai keperluan kritikal,” ujarnya.

Menurut Dzulkefly, selain insentif kewangan, KKM turut menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri Sarawak menawarkan biasiswa kepada anak negeri untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di institusi pengajian tinggi.

“Inisiatif ini akan membantu meningkatkan jumlah pegawai perubatan di Sarawak, memastikan kemampanan sumber manusia kesihatan dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber dari negeri lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN