Kebas boleh jadi petanda penyakit serius

Kebas boleh jadi petanda penyakit serius

KEBAS juga boleh berlaku akibat tekanan atau saraf terhimpit seperti himpitan saraf median dalam Sindrom Carpal Tunnel di pergelangan tangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebas tangan dan kaki selalunya dianggap biasa tetapi tidak ramai mengetahui rasa kebas yang kerap dialami berkemungkinan adalah petanda awal mereka menghidap penyakit kronik.

Antara penyakit kronik yang boleh menyebabkan kebas tangan dan kaki seperti kencing manis atau Diabetes mellitus dan Diabetik neuropati. Statistik Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan menunjukkan lebih 15.6 peratus dewasa iaitu seorang daripada enam menghidap diabetes dan dua daripada lima orang tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini.

Kebas juga mungkin adalah petanda anda mengalami penyakit buah pinggang kronik, tiroid dan jantung. Penyakit buah pinggang kronik menyebabkan pengumpulan urea atau toksin yang merosakkan saraf. Penyakit tiroid (hipotiroidisme) pula memperlahankan fungsi saraf.

Pesakit jantung secara tidak langsung boleh mendapat simptom kebas sekiranya terdapat peredaran darah yang rendah atau komplikasi saraf autonomik. Namun begitu, kebas bukanlah tanda utama penyakit jantung.

Pensyarah dan Pakar Perunding Neurologi, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rabani Remli berkata, individu yang mengalami kebas perlu berjumpa doktor jika berlarutan lebih seminggu hingga dua minggu.

“Segera berjumpa doktor jika kebas menyebabkan gangguan berjalan, lemah otot atau kesukaran melakukan kerja harian. Kebas yang disertai sakit, panas atau seperti ‘tersengat’ juga adalah petanda yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

“Individu yang ada sejarah keluarga menghidap diabetes, kanser atau penyakit kronik lain juga perlu menjalani pemeriksaan apabila kerap mengalami kebas pada tangan atau kaki,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Katanya lagi, kebas atau dalam perubatan dikenali sebagai parestesia berlaku apabila terdapat gangguan pada saraf yang menghantar isyarat dari kulit ke otak.

Terdapat banyak punca gangguan saraf yang boleh mengakibatkan kebas. Antaranya Neuropati periferi iaitu kerosakan saraf periferi yang berada di luar otak dan saraf tunjang. Kebas juga berpunca daripada kecederaan saraf akibat trauma atau pembedahan.

“Kebas juga boleh berlaku akibat tekanan atau saraf terhimpit seperti himpitan saraf median dalam Sindrom Carpal Tunnel di pergelangan tangan. Masalah tulang belakang seperti cakera tergelincir (slipped disc) yang menekan akar saraf juga boleh menyebabkan kebas.

“Strok atau mini-strok (transient ischaemic attack) pula biasanya akan menyebabkan kebas pada bahagian muka atau sebelah badan. Selain itu, jangkitan saraf seperti jangkitan virus herpes zoster dan radang saraf autoimun seperti Guillain-Barré Syndrome (GBS) atau Chronic Inflammatory Demyelinating Polyneuropathy (CIDP) boleh menyebabkan rasa kebas,” katanya.

Selain itu, kebas juga boleh berlaku akibat pendedahan kepada toksin daripada logam berat dan alkohol. Kekurangan vitamin B terutamanya B1, B6 dan B12 juga boleh menjadi punca kerap mengalami kebas.

Kebas yang tidak bahaya adalah sekiranya simptom kebas hanya berlaku buat sementara. Contohnya, berlaku selepas tidur atau duduk lama yang menekan saraf secara sementara. Kebas ini akan hilang dalam beberapa minit hingga jam.

“Kebas yang berbahaya perlu perhatian segera jika terasa kebas sebelah muka atau sebelah badan yang berisiko strok. Kebas disertai kelemahan otot, susah berjalan atau hilang imbangan juga adalah petanda yang perlu dipandang serius.

“Petanda kebas bahaya apabila ia berlaku secara progresif dan tidak hilang. Kebas disertai sakit menusuk atau rasa terbakar, ngilu atau seakan terkena renjatan elektrik juga petanda bahaya. Ini termasuk kebas yang disertai gangguan kawalan kencing atau buang air besar,” katanya.

Rawatan berdasarkan punca

Dr. Rabani berkata, pesakit perlu menjalani beberapa ujian sebelum diberikan rawatan yang kebiasaannya berdasarkan punca kebas berlaku. Antaranya ujian darah, tiroid dan fungsi buah pinggang.
“Ujian konduksi saraf turut dijalankan bagi mengenalpasti tahap neuropati dan punca kerosakan saraf. Ujian Magnetik Resonance Imaging (MRI) saraf perlu dilakukan jika disyaki tekanan saraf atau penyakit berkaitan saraf tunjang.

“Rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit bergantung kepada punca masalah kebas (neuropati). Antaranya suplemen vitamin (B-complex, B12), ubat anti-neuropatik (gabapentin, pregabalin). Rawatan penyakit autoimun saraf memerlukan ubat anti radang (steroid/ immunoglobulin ). Pesakit diabetes pula perlu mengawal gula dalam darah selain menjalani fisioterapi,”katanya.

Rawatan di rumah boleh membantu jika punca kebas tidak serius, contohnya disebabkan oleh tekanan saraf ringan. Urutan lembut di kawasan kebas boleh dilakukan bagi melegakan atau menghilangkan kebas.

Merendam kaki atau tangan di dalam air suam boleh membantu melancarkan peredaran darah dan perjalanan saraf. Suhu sejuk kebiasaannya menyebabkan saraf bergerak lebih perlahan.

Diet tingkat fungsi saraf

Rasa kebas tangan dan kaki juga berkaitan dengan kekurangan vitamin neurotropik terutama vitamin B12 dalam diet atau pemakanan. Vitamin B12 penting untuk fungsi saraf dan kekurangannya boleh menyebabkan neuropati, terutamanya pada pemakan sayur (vegetarian) atau warga emas.

“Mereka yang minum alkohol atau kekurangan nutrisi dikaitkan dengan kekurangan Vitamin B1 (tiamin). Vitamin B6 (pyridoxine) juga penting tetapi perlu berhati-hati kerana dos Vitamin B6 yang terlalu tinggi boleh merosakkan saraf. Zat lain yang penting adalah asid folik, zink dan magnesium.

“Makanan yang disarankan sebagai sumber vitamin diperlukan seperti hati, daging tanpa lemak, ikan, telur, susu, keju, kekacang dan bijirin penuh. Amalkan makan sayuran hijau dan makanan berasaskan bijirin yang kaya vitamin B,” katanya.

Senaman bantu aliran darah

Individu yang mengalami simptom kebas disarankan melakukan senaman ringan kerana senaman membantu aliran darah, mengurangkan tekanan saraf dan meningkatkan koordinasi.

“Doktor boleh merujuk kepada fisioterapi bagi memulakan senaman regangan otot tangan, kaki dan tangan seperti berjalan kaki secara berkala dan menggenggam bola lembut. Yoga ringan dan tai chi juga bagus untuk keseimbangan dan kawalan saraf.

“Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi menilai tahap kesihatan dan kandungan gula dalam darah. Sekiranya menghidap diabetes , pastikan kawal kandungan gula dalam darah pada julat normal. Sentiasa amalkan pemakanan seimbang, cukup vitamin B dan zat mineral,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×