PETALING JAYA: Sebanyak sembilan lokasi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan Alor Gajah, Melaka paling terjejas dengan bacaan 160, setakat pukul 10 pagi tadi.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nilai mencatatkan IPU 159, Temerloh (157), Banting (156), Johan Setia (152), Cheras (152), Kemaman (152), Putrajaya (123) dan Bukit Rambai (103).
Kesemua kawasan terbabit mencatatkan bacaan melebihi paras 100, yang diklasifikasikan sebagai tidak sihat untuk kesihatan awam, terutamanya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mengalami masalah pernafasan.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.-UTUSAN










