JAS perketat penguatkuasaan premis susulan pendedahan EAIC

JAS perketat penguatkuasaan premis susulan pendedahan EAIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memperketat penguatkuasaan terhadap premis kitar semula di seluruh negara, susulan pendedahan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung beberapa kelemahan dalam pelaksanaan penguatkuasaan di Johor.

Ini susulan pendedahan EAIC, terhadap beberapa kelemahan dalam pelaksanaan penguatkuasaan oleh JAS Johor terhadap sebuah premis kitar semula, susulan aduan berhubung dakwaan kegagalan mengambil tindakan terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen sah.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap hasil siasatan EAIC berkaitan aduan ke atas sebuah premis kitar semula di kawasan perindustrian Segamat.

Katanya, walaupun hasil siasatan EAIC mendapati dakwaan pengadu tidak berasas, pelbagai langkah penambahbaikan tetap akan dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan dan ketelusan penguatkuasaan.

“Antara penekanan utama ialah tindakan lebih tegas terhadap premis yang melakukan kesalahan berulang termasuk penahanan operasi, penggantungan lesen serta tindakan mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut laporan EAIC, semua premis yang terlibat dalam siasatan itu didapati mempunyai lesen sah daripada JAS dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain beroperasi di kawasan perindustrian yang diluluskan.

Siasatan turut mendapati tiada sebarang bukti salah laku pegawai JAS, manakala siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak menemui sebarang unsur rasuah.

Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya telah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan mengedarkannya ke semua peringkat pentadbiran negeri dan daerah untuk penyelarasan tindakan.

Katanya, garis panduan kompaun turut dipinda agar tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih telus dan adil termasuk keperluan mendapatkan kebenaran timbalan pendakwa raya sebelum sesuatu kompaun dikeluarkan.

“Libat urus secara berterusan juga akan dilaksanakan bagi memastikan setiap pegawai memahami dan melaksanakan SOP tersebut dengan menyeluruh,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, satu pewartaan baharu iaitu Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, PBT dan Perbadanan) 2025 telah mula berkuatkuasa pada 8 Julai lalu.

Katanya, perintah itu menggabungkan enam perintah sedia ada ke dalam satu pewartaan baharu bagi memperkemas pelaksanaan penguatkuasaan oleh pelbagai agensi berkaitan.

“JAS juga sedang merangka dan melaksanakan pelan penambahbaikan secara berfasa untuk memperkukuh lagi keberkesanan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.

“Kami kekal komited bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk EAIC bagi memastikan penyampaian perkhidmatan JAS lebih berkesan, konsisten dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN