PETALING JAYA: Kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang didakwa membawa masuk bahan terlarang ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) telah ditukar.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan tatatertib itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan dan Tatatertib) 1993.
Katanya, AADK memandang serius hasil siasatan yang dikeluarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap 47 klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah yang didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Hasil siasatan tersebut menunjukkan wujudnya salah laku kakitangan AADK di PUSPEN berkenaan.
“AADK tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati bersalah terlibat pelanggaran integriti atau undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, AADK melaksanakan pemeriksaan dan ujian saringan air kencing secara mengejut di seluruh PUSPEN bagi memastikan persekitaran pusat pemulihan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, tindakan susulan juga akan diambil berdasarkan syor-syor penambahbaikan EAIC untuk memperkukuh sistem kawal selia dalam memantapkan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Selian memperkasakan kepatuhan integriti di semua fasiliti AADK, khususnya di PUSPEN,” jelasnya.
Ruslin menegaskan, AADK akan terus bekerjasama rapat dengan EAIC dalam usaha meningkatkan tadbir urus, terutamanya berkaitan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK.
Semalam, EAIC mendedahkan terdapat pelanggaran arahan berhubung larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang dilakukan oleh pegawai sewaktu bertugas.
Siasatan dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]. – UTUSAN










