800 kontena e-waste akan dilupus

800 kontena e-waste akan dilupus

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 800 kontena sisa elektronik (e-waste) kini berada dalam siasatan bagi akan dilupuskan yang dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, isu kemasukan sisa plastik dan e-waste ke negara ini memerlukan tindakan segera serta penyelarasan menyeluruh antara agensi.

“Tindakan perlu disegerakan tanpa sebarang kelewatan selaras dengan arahan penguatkuasaan yang telah ditetapkan. 

“Di Pelabuhan Klang, AKPS berperanan sebagai penyelaras manakala JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JAS perlu hadir ke lokasi sekiranya terdapat maklumat atau aduan.

“Bagi laluan darat pula, PDRM akan menggabungkan mana-mana agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. Kita juga sedang meneliti cadangan moratorium dan pandangan mengenainya akan dibawa ke Mesyuarat JTK Nasional yang akan dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 7 Bil.1 Tahun 2026 di Dewan Persidangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelbagai modus operandi termasuk membabitkan perolehan kerajaan, penguatkuasaan serta perjanjian mega antarabangsa berjaya didedahkan hasil komitmen tinggi membanteras salah laku dan rasuah oleh SPRM.

Beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada SPRM atas pendekatan proaktif serta komitmen berterusan dalam memastikan Malaysia bebas daripada sebarang bentuk salah laku dan amalan rasuah ketika mempengerusikan mesyuarat itu.

“Pelbagai modus operandi rasuah berjaya didedahkan termasuk kes membabitkan perolehan ketenteraan, pengimportan sisa e-waste serta terkini perjanjian mega antara Kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing.

“Saya berharap segala operasi dan tindakan penguatkuasaan ini menjadi peringatan dan pengajaran kepada semua pihak khususnya penjawat awam agar sentiasa mematuhi undang-undang, menjunjung nilai integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS,  Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam operasi terbaharu, sebanyak 58 kontena telah dirampas.

Katanya, tindakan tegas diambil dengan menahan kontena yang disyaki mengandungi e-waste sehingga pengesahan dibuat oleh JAS.

“AKPS akan memastikan setiap penahanan direkodkan dengan lebih sistematik dan pelepasan hanya dibuat melalui mesyuarat kes. 

“JKDM pula akan menyenaraikan kontena dalam senarai induk bagi tujuan pengasingan sama ada telah diperiksa atau sebaliknya.

“JAS juga diwajibkan hadir ketika pembukaan kontena, manakala AKPS sedang membangunkan kaedah risikan bagi mengenalpasti kontena berisiko tinggi. Sekiranya melanggar undang-undang, kontena berkenaan akan ditolak keluar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN