Polis, Jabatan Alam Sekitar serbu kilang proses sisa plastik

Polis, Jabatan Alam Sekitar serbu kilang proses sisa plastik

ALZAFNY Ahmad (kanan) menunjukkan gambar-gambar sekitar Op Hazard E-Waste sambil diperhatikan Abdul Aziz di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Seremban, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah premis yang memproses sisa plastik di satu kawasan industri di Senawang dekat sini diserbu anggota polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam Op Hazard E-Waste pada Isnin lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, serbuan itu dilakukan oleh pasukan dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama JAS negeri berikutan aduan orang awam.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan itu menemukan sebanyak 115.4 tan bahan yang telah dihancurkan menjadi karbon hitam Halogeated Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (HPA) dianggarkan berjumlah RM577,000.

“Premis ini telah melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa sistem pengolahan effluent perindustrian di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Effluent Perindustrian) 2009.

“Terdapat juga kesalahan alam sekitar iaitu beroperasi tanpa surat pemakluman di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah JAS negeri, Abdul Aziz Parmin.

Alzafny berkata, polis telah memanggil pemilik premis itu yang berusia 65 tahun untuk memberi keterangan dalam kes tersebut.

Dalam operasi itu juga, tambahnya, polis telah menahan seramai 12 orang warganegara asing terdiri daripada lapan lelaki Myanmar, lelaki Bangladesh (3) dan seorang wanita dari China yang disyaki pekerja di kilang itu.

Jelasnya, kesemua mereka yang dipercayai tinggal di dalam kilang itu telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, premis itu pernah melakukan kesalahan yang sama pada Oktober tahun lalu dan telah dikenakan tindakan namun didapati masih meneruskan operasi.

Menurutnya, dalam operasi Isnin lalu, JAS telah mengeluarkan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengarahkan premis tersebut menghentikan operasi serta-merta.

“Kami juga membuat pemakluman kepada Majlis Bandaraya Seremban kerana premis ini menjalankan operasi bertentangan dengan permit yang telah dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN