PETALING JAYA: Perenang negara, Khiew Hoe Yean gagal melayakkan diri ke separuh akhir 100 meter (m) gaya bebas selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, semalam.
Hoe Yean menamatkan pusingan pertama dengan catatan 50.77 saat (s) untuk berada di kedudukan ke-50 daripada 110 perenang yang mengambil bahagian.
Tempat pertama dimenangi Oliver Sogaard-Andersen dari Denmark yang merakamkan catatan 49.18s manakala tempat kedua milik Evan Bailey dari Ireland yang menyentuh garisan penamat dengan 49.52s dan ketiga Tomas Koski 49.67s.
Dalam satu lagi acara 800m gaya bebas, Hoe Yean turut kempunan ke final selepas menamatkan saingan di tangga tercorot dalam pusingan satu saringan kedua sekali gus berada di kedudukan ke-22 daripada 26 keseluruhan dengan catatan masa 8:08.62s.
Pemenang pingat perak dalam acara 400 m gaya bebas lelaki pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Jerman baru-baru ini akan beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas, esok.
Seorang lagi perenang negara, Bryan Leong Xin Ren pula akan beraksi dalam acara 100m kupu-kupu, esok.
Sementara itu, bagi acara terjun pula menyaksikan penerjun negara, Lee Yiat Qing gagal mara ke final dalam acara 10m platform selepas berada di tangga ke-29 keseluruhan dengan 240.20 mata.-UTUSAN