19 Exco Srikandi hilang keyakinan terhadap Mas Ermieyati

19 Exco Srikandi hilang keyakinan terhadap Mas Ermieyati

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 19 Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin susulan beberapa kenyataan dan tindakan beliau kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, pendirian itu dibuat selepas menilai tindakan Mas Ermieyati yang didakwa tidak selaras dengan Perlembagaan parti serta prinsip disiplin organisasi.

Kenyataan itu turut ditandatangani Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Seri Azmin Ali bersama 18 Exco lain.

“Kami menegaskan bahawa segala keputusan, kenyataan dan pendirian yang dibuat oleh beliau kebelakangan ini adalah atas kapasiti peribadi semata-mata serta tidak mendapat sokongan dan persetujuan Exco Srikandi Malaysia mahupun majoriti ketua-ketua Srikandi negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut tersenarai dalam kenyataan bersama itu sembilan Ketua Srikandi negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Pahang dan Sarawak.

Ermieyati sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah pada 19 Februari lalu selepas menyatakan hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 14 Februari, beliau turut menghadiri perhimpunan yang menyatakan sokongan kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kumpulan Exco berkenaan menegaskan mereka kekal berdiri teguh bersama Muhyiddin dan menyatakan bahawa sebarang kenyataan atau tindakan Mas Ermieyati tidak melalui proses musyawarah serta tidak mendapat mandat rasmi Srikandi.

“Perkara ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan dalaman, malah berpotensi menghakis kepercayaan serta merencatkan kesatuan Srikandi di semua peringkat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×