PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni pengamal media dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana di sini.
Perdana Menteri yang lengkap berbusana Melayu biru meluangkan masa menyantuni lebih 350 tetamu yang hadir selain bersama mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan penceramah terkenal, Ustaz Haryanto Rizal.
Pada majlis sama, seramai 10 pengamal media termasuk veteran yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup memerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA usaha membantu meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan disampaikan oleh Fahmi sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan wacana negara.
Penerima sumbangan terdiri daripada Norlee Mohd Sapari (Sinar Harian), Ahmad Muliady Ab Majid (BERNAMA), Nasri Abdullah (Berita Harian), Yusman Yunus (Utusan), Md Sharif Haron (New Straits Times), Shukri Mohamad (Media Selangor), Muhammad Fauzi Mohamed (Sumber Kini), Shaukei Kahar (RTM), Nurfarahin Jamsari (Media Prima) dan Shahril Azman Mohd Zain (Media Mulia).
Sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA sudah memanfaatkan seramai 658 pengamal media di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan bantuan. – UTUSAN










