PETALING JAYA: Syarikat motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn. Bhd. (eHati) menafikan dakwaan bahawa air ‘Piya’ yang diberikan kepada peserta program mengandungi bahan terlarang.
Pengasas bersama eHati, Diana Tahir dan Rahim Shukor dalam kenyataan berkata, minuman itu hanyalah campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang dirumus khas untuk membantu menenangkan fikiran.
“Minuman ini langsung tidak mempunyai bahan terlarang atau cendawan ajaib seperti didakwa,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, belum dapat disahkan kandungan air Piya yang didakwa mengandungi bahan mengkhayalkan selepas diminum oleh peserta program.
Beliau berkata, sampel air itu masih dalam proses siasatan dan belum dihantar ke makmal forensik.
“Jadi, kita belum dapat sahkan (dakwaan kandungan bahan terlarang dalam air terbabit),” katanya.
Jumaat lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga terbabit.
Ini susulan masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Dalam hantaran yang tular di platform Facebook, terdapat wanita melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di Shah Alam dekat sini.
Peserta program juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.
Dakwaan itu telah mengundang pelbagai persepsi termasuk kaitan dengan bahan terlarang yang dikenali sebagai ‘cendawan ajaib’.-UTUSAN