PETALING JAYA: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan memaklumkan, hasil pertemuan dengan pemilik premis ‘glamping’ bahawa setakat ini tiada tempahan secara rasmi berkenaan penganjuran program Glamping With Pride.
Beliau berkata, beliau telah turun padang menemui kesemua pemilik premis glamping bagi mendapatkan kepastian berhubung dakwaan lokasi penganjuran program terbabit yang tular di media sosial sebelum.
Menurutnya, dua lokasi dikenal pasti iaitu di Kampung Sungai Semungkis dan tapak perkemahan Qowiy di Jalan Sungai Lui, namun kedua-dua pemilik menafikan mereka menerima tempahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi tarikh berkenaan.
“Semakan mendapati tempahan sedia ada hanyalah melibatkan taman didikan kanak-kanak (tadika) dari Jempol, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), individu serta keluarga, bukan kumpulan yang mempromosikan gaya hidup songsang seperti didakwa sebelum ini.
“Kesemua pemilik premis yang ditemui menyatakan pendirian tegas tidak bersetuju serta menolak sebarang program bercanggah adat, norma, undang-undang dan nilai masyarakat tempatan di kawasan berkenaan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, Mohd. Sany Hamzan akan mengadakan pertemuan dengan pemilik premis yang terlibat dalam penganjuran program Glamping With Pride yang dikesan berunsur LGBT.
Mohd. Sany berkata, beliau bersama beberapa orang ketua kampung akan ke lokasi tersebut selepas isu berkenaan tersebar luas dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat khususnya beragama Islam.
Tambah Sany, kedua-dua lokasi disahkan penuh dengan aktiviti lain pada 17 dan 18 Januari ini, sekali gus menafikan ruang penganjuran program tersebut seperti diwar-warkan sebelum ini.
Beliau turut menasihatkan pemilik chalet, resort dan tapak perkhemahan agar menolak serta memulangkan deposit jika menerima tempahan melibatkan NGO seumpama itu demi keharmonian bersama.
“Selain itu, saya juga telah berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan mereka telah memaklumkan bahawa pihaknya masih tidak mengetahui lokasi sebenar program tersebut akan diadakan.
“Keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum wajar dipelihara agar tiada pihak mencetuskan keresahan serta menggugat keamanan negara yang aman tenteram dan saling menghormati bersama,” katanya. – UTUSAN









