Sultan Selangor bantah penganjuran program LGBTQ di negeri ini

Sultan Selangor bantah penganjuran program LGBTQ di negeri ini

LGBTQ Selangor
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap penganjuran sebarang aktiviti songsang LGBTQ di negeri ini kerana melangkaui batas fitrah.

Malah, baginda menegaskan perbuatan itu boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dalam kenyataan bersamanya berkata, Sultan Sharafuddin tidak berkenan terhadap sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang.

Katanya, baginda juga tidak berkenan dengan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan juga organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan LGBTQ di negeri ini.

“Sultan Selangor menitahkan Pengerusi MAIS dan Mufti Selangor menghadap baginda hari ini dan mengarah mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan LGBTQ.

“Selaras dengan titah baginda, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBTQ dalam mana-mana daerah di negeri ini,” katanya, hari ini.

Jelas kenyataan itu, sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT ini adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek
menjaga keturunan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pihak berkuasa perlu peka dan tegas dalam membanteras sebarang aktiviti mempromosikan budaya songsang yang jelas bertentangan dengan fitrah manusia serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, setiap penganjuran program awam di negara ini perlu menghormati sensitiviti agama, undang-undang serta norma budaya tempatan.

Tambahnya kenyataan sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program sedemikian di Selangor.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

“MAIS dan Mufti Selangor menuntut komitmen semua pihak dalam memelihara kesucian Islam untuk memastikan Selangor kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,” tegasnya.

Minggu lalu, kerajaan negeri digesa menghalang dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program perkhemahan ‘Glamping with Pride’ kerana mempromosikan aktiviti hubungan sejenis dan LGBTQ yang bertentangan dengan nilai, agama dan moral awam negara ini.

Aktiviti anjuran ‘jejaka.org’ itu dikatakan berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini di sebuah tempat rekreasi di Hulu Langat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau menentang keras penganjuran aktiviti sedemikian yang disifatkan tidak wajar dan bercanggah dengan norma masyarakat Selangor apatah lagi ia hendak diadakan ketika sambutan Israk dan Mikraj pada Sabtu depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN