SHAH ALAM: Polis diminta membuat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap penganjuran perkhemahan ‘Glamping with Pride’ yang akan diadakan di Hulu Langat, Sabtu depan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau meminta tindakan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang berhubung penganjuran program tersebut.
“Saya telah minta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pantau dan mengambil tindakan jika ada sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Kerajaan negeri digesa menghalang dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program perkhemahan ‘Glamping with Pride’ kerana mempromosikan aktiviti hubungan sejenis dan LGBTQ yang bertentangan dengan nilai, agama dan moral awam negara ini.
Aktiviti anjuran ‘jejaka.org’ itu dikatakan berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini di sebuah tempat rekreasi di Hulu Langat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau menentang keras penganjuran aktiviti sedemikian yang disifatkan tidak wajar dan bercanggah dengan norma masyarakat Selangor apatah lagi ia hendak diadakan ketika sambutan Israk dan Mikraj pada Sabtu depan.
Jelas Fahmi, tindakan juga boleh diambil di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 terhadap mana-mana umat Islam yang melakukan aktiviti bertentangan dengan akidah.
“Ada beberapa peruntukan yang spesifik di bawah enakmen itu. Namun, lebih sesuai akta (undang-undang) Persekutuan digunakan bagi tujuan pencegahan, dengan pemantuan dan penguatkuasaan di bawah PDRM,” ujarnya. – UTUSAN










