GEORGE TOWN : Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang tidak akan ‘dikembalikan’ buat masa ini kerana pengoperasian semula pengangkutan itu memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain faktor kos, kesukaran untuk mendapatkan alat ganti serta ketiadaan terminal feri yang khusus juga antara cabaran yang perlu dihadapi sekiranya ingin ‘menghidupkan’ semula perkhidmatan berkenaan.
“Untuk membina sebuah terminal feri yang baharu buat masa ini mungkin agak mustahil. Jadi, kita putuskan bahawa perkhidmatan feri baharu yang sedang digunakan ketika ini sebagai perkhidmatan gantian kepada perkhidmatan feri ikonik,” katanya selepas merasmikan Muzium Feri Pulau Pinang, di sini.
Untuk rekod, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang telah dihentikan operasinya sejak 2020 dan digantikan dengan perkhidmatan feri baharu yang lebih moden bagi membawa penumpang dan kenderaan dua roda.
Dalam pada itu, Anthony berkata, meskipun perkhidmatan feri ikonik telah dihentikan buat masa ini, orang ramai boleh merasai suasana tersebut ketika berada di dalam Muzium Feri atau sebuah restoran terapung yang dibina berkonsepkan feri ikonik sebelum ini.
“Bagi perkhidmatan feri penumpang pula (feri baharu), ketika ini, kita sudah ada empat buah dan jika ada permintaan yang tinggi, kita akan tambah menjadi lima,” katanya.
Tambah beliau, perkhidmatan feri di Pulau Pinang tidak berorientasikan keuntungan kerana kadar tambangnya dikawal selia oleh kerajaan setiap masa.-UTUSAN










