PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pihak universiti untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan kampus, memastikan kawasan terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan.
KPT berkata, pihaknya memandang serius letupan kompresor ketika kerja penyelenggaraan sistem pendingin hawa dilakukan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara pagi tadi, hari ini.
itu, menurutnya, universiti berkenaan jug perlu menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat.
“KPT menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala serta kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut, dan sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan media.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pelajar, Soo Yu Juan, 24 maut manakala sembilan termasuk empat pelajar cedera selepas kompresor penghawa dingin itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.40 pagi membabitkan letupan kompresor penghawa dingin di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian, pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik berikutan terdapat masalah teknikal dan keperluan pembaikan namun kerja membaiki peralatan berkenaan belum sempat dilaksanakan.
Dalam pada itu, KPT turut merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada semua keluarga mangsa.
“KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin,” katanya.-UTUSAN









