Usah rasa ‘terancam’ – Anak Tiara Jacquelina - Utusan Malaysia

Usah rasa ‘terancam’ – Anak Tiara Jacquelina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah ke dunia seni hiburan sebagai seorang pelakon, ada sesuatu yang istimewa yang dapat dilihat pada Mila Mohsin, anak kepada pasangan pelakon tersohor, Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Sri Tiara Jacquelina.

Mewarisi bakat daripada dua nama besar dalam industri seni tanah air, kehadiran Mila ternyata mencuri perhatian ramai.

Meskipun masih hijau dalam dunia lakonan, Mila tampil dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk membuktikan kehadirannya bukan sekadar menumpang nama kedua orang tuanya.
Dibayangi legasi kedua ibu bapanya yang begitu besar, Mila hadir dengan gaya dan pendekatan tersendiri, segar, versatil dan berjiwa besar.

“Boleh dikatakan, permulaan saya masuk ke dalam industri seni ini adalah secara kebetulan. Saya mulakan dengan pembabitan dalam sebuah teater muzikal. Kebetulan, pengarah Saw Teong Hin datang tengok show saya waktu itu dan masa itu dia tak tahu saya anak siapa.

“Saya guna nama Mila Mohsin dan mungkin sebab tu dia tak cam. Dia pelawa saya untuk jayakan filem Laknat dan saya tak tolak sebab nak mencuba. Lagipun saya rasa mungkin sekarang adalah waktu yang sesuai untuk menerjah dunia seni secara profesional,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mila, ketika dia menyatakan kesediaannya untuk melebarkan kerjaya dalam bidang seni, ibunya, Tiara, tidak dapat mengelak daripada perasaan bimbang.

“Sama seperti ibu-ibu lain, dia risau. Tapi saya beruntung sebab dapat belajar daripada dia dan sempat juga timba tips daripada arwah ayah saya sebelum dia meninggal dunia.

“Setiap langkah, saya rasa mereka bersama saya. Sudah tentu ada tekanan.

“Tapi saya rasa bertuah sebab saya dapat lihat sendiri tahap dedikasi dan kemahiran ibu bapa saya. Jadi saya tahu standard itu tinggi dan saya ingin capai lebih daripada itu,”katanya.

NASIHAT IBU
Menurut Mila, meskipun ibunya sudah begitu masak dengan dunia seni hiburan, dia tetap memberi nasihat tidak terkecuali, syarat untuknya jika benar-benar mahu serius dalam bidang ini.

Enggan mendedahkan apakah nasihat tersebut, Mila bagaimanapun tidak menolak bahawa sebolehnya dia tidak mahu terpalit dengan kontroversi.

“Sebagai ibu tentulah dia menasihatkan saya itu dan ini. Malah saya pun kalau dapat sebarang naskhah atau projek, tentulah akan bertanya dan meminta pandangannya sebagai seorang yang sudah lama dalam industri seni. Saya juga percaya kepada keberkatan ibu bapa.

“Kalau boleh saya juga tak mahu terpalit dengan kontroversi. Saya terima apa sahaja nasihat yang diberikan ibu tetapi kalau dilihat, gaya saya dengannya berbeza.

“Cara kerja kami juga berbeza terutama dari sudut kreativiti. Masing-masing ada cara sendiri. Tetapi satu persamaan kami ialah, jenis dedikasi dengan kerja. Sampai malam pun boleh kerja,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia sudi bekerjasama dengan ibunya dalam naskhah tertentu, Mila teruja untuk menerima andai ada pihak mempelawa.

Selain itu, mengusik dengan pertanyaan andai kata ada kalangan pelakon baharu lain yang berasa ‘terancam’ dengan kehadiran Mila di persada seni, ini jawapan yang diberikan.

“Saya tahu orang akan kata oh dia ini anak Tiara, anak arwah Hani Mohsin. Tapi saya tak boleh kawal apa orang fikir. Saya harap satu hari nanti orang nampak saya sebagai individu, bukan semata-mata ‘anak kepada mereka’.

“Kalaulah ada orang rasa terancam,tak perlu pun fikir begitu. Ketahuilah, saya bukan hadir untuk jatuhkan sesiapa.

“Saya harap semua orang terbuka dan bersedia untuk kerja bersama-sama dalam persaingan yang sihat,”ujarnya.

SENI BELA DIRI
Dalam pada itu, apa yang menarik mengenai si manis ini, sebelum menyertai industri hiburan secara serius, Mila telah pun menjalani kehidupan yang jauh dari dunia glamor.

Kongsi Mila, sebelum bergelar seorang pelakon, dia merupakan jurulatih jiu-jitsu, seorang jurugaya dan pernah terlibat secara aktif dalam mendidik kanak-kanak di akademi seni mempertahankan diri.

Bagi Mila, semua pengalaman itu adalah pelengkap yang menjadikannya lebih bersedia untuk dunia seni yang penuh cabaran.

“Saya yakin dengan pengalaman itu, mungkin ia membantu saya bersedia untuk mengukir nama dalam bidang seni pula.

“Macam saya katakan tadi, saya cuba untuk berdiri di atas kaki dan bakat sendiri. Saya ada kemahiran sendiri.

“Dulu, masa remaja, saya selalu berfikir, bagaimana jika masyarakat membandingkan saya dengan ayah atau ibu? Tapi saya bukan mereka?

“Pada masa yang sama saya tahu, untuk berjaya, tiada jalan pintas. Saya kena usaha sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN