Sektor utiliti, pembinaan kekal menjadi tumpuan

Sektor utiliti, pembinaan kekal menjadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka terus bergerak dalam mod berhati-hati minggu ini, dipengaruhi sentimen menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) esok dan 10 Disember, walaupun beberapa sektor domestik dijangka menerima sokongan belian berasaskan asas yang kukuh.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menutup dagangan lebih rendah pada 1,616.52 mata Jumaat lalu, susut 4.55 mata atau 0.28 peratus dengan jumlah dagangan sebanyak 3.171 bilion unit.

Daripada keseluruhan pasaran, 437 kaunter mencatat kenaikan, 598 susut dan 558 tidak berubah. 

Ketidaktentuan 30 hari indeks turut mereda kepada 7.72 berbanding 7.77 sebelum ini, manakala pulangan sejak awal tahun kekal negatif pada 1.57 peratus.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd. Sedek Jantan berkata, penyusutan kecil indeks menunjukkan pelabur memilih untuk mengurangkan risiko sementara menantikan data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijangka mempengaruhi hala tuju dasar monetari global.

Katanya, sektor utiliti dan industri menjadi penyumbang utama kepada penstabilan indeks pada sesi dagangan tersebut, disokong aliran masuk ke arah kaunter defensif dengan kejelasan pendapatan yang lebih stabil.

“Sebaliknya, sektor telekomunikasi kekal sebagai tekanan utama kepada indeks, didorong faktor khusus sektor serta aktiviti ambil untung menjelang pengumuman data penting AS. Kitaran keluar daripada kaunter dividen tinggi turut menyumbang kepada kelemahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai prestasi sektor lebih meluas, Mohd Sedek berkata, sektor pembinaan muncul antara yang paling kukuh pada sesi dagangan Jumaat, dipacu oleh momentum projek domestik yang berterusan serta pengukuhan ringgit yang dapat mengurangkan kos import bahan dan mesin.

“Pengukuhan ringgit memberikan kelebihan kepada kontraktor, sekali gus meningkatkan jangkaan margin. Ini turut menyokong sentimen positif terhadap kaunter pembinaan,” ujarnya.

Menurut beliau, pasaran minggu ini berkemungkinan kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan hala tuju dasar Rizab Persekutuan (Fed) pada awal 2026, walaupun pasaran telah menilai 87 peratus kebarangkalian pemotongan kadar 25 mata asas pada mesyuarat Disember.

“Jurang pandangan antara anggota dovish dan hawkish dalam FOMC kini makin melebar. Minit mesyuarat 28 dan 29 Oktober lalu menunjukkan dua ahli tidak sependapat, seorang mencadangkan tiada pemotongan dan seorang lagi menggesa pemotongan 50 mata asas. Ini menunjukkan hala tuju dasar selepas Disember adalah jauh lebih tidak jelas,” katanya.

Tambah beliau, dalam suasana global yang lebih tidak menentu, putaran sektor dijangka menjadi lebih ketara di Bursa Malaysia, dengan pelabur memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai kejelasan pendapatan, sokongan permintaan domestik atau manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang stabil.

“Bank kekal menarik, terutamanya apabila prospek pelonggaran Fed kebiasaannya mengukuhkan sentimen risiko global dan menyokong ringgit. Peningkatan nilai ringgit juga membantu mengurangkan tekanan kos import serta meningkatkan kestabilan pembiayaan, memberi sokongan tambahan kepada asas sektor kewangan,” katanya.

Sektor utiliti, pembinaan dan pengguna juga dijangka terus menerima minat belian secara selektif kerana disokong faktor domestik seperti perbelanjaan fiskal, pelaksanaan projek serta permintaan isi rumah yang masih berdaya tahan.

Bagaimanapun, katanya, sentimen keseluruhan kekal sensitif kepada pemangkin luar seperti data makro AS dan sebarang perubahan dalam panduan hadapan Fed.

Secara keseluruhan, minggu ini dijangka memperlihatkan persekitaran dagangan yang lebih taktikal dan dipacu rotasi penempatan semula portfolio, dengan pelabur kekal memilih kaunter yang mempunyai kekuatan defensif, asas kukuh dan sokongan mata wang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN