WOW! Itu yang keluar dari mulut dua, tiga wartawan di belakang saya yang teruja melihat visual model pertama kenderaan elektrik (EV) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dalam satu sesi khas bersama media di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), baru-baru ini. Itu baru tunjuk gambar pada skrin, belum lagi tengok yang betul-betul.
Selesai taklimat, kami dibawa ke litar. Nah, di depan kami ‘terhidang’ EV ulung buatan Perodua tersebut yang dinamakan QV-E seperti tertera pada kedua-dua plat depan dan belakang. Dari depan, lampu utama yang ‘halus’ mendatar dari sisi merentasi fascia hadapan menyerlahkan reka bentuk yang anggun.
Dipandang dari belakang, reka bentuk lampu mendatar dari kiri kanan menampilkan ciri moden ditambah fasia belakang menjadikan QV-E nampak kukuh dan stabil. Dari tepi pula, ketara reka bentuk sportback dengan garis bumbung melengkung dari depan mengalir ke bahagian belakang.
Penampilan mantap sebegini ditonjolkan menerusi hasil kontur yang membuatkannya lebih menyerlah dan mampu mencuri tumpuan ramai. Saya percaya sesiapa yang melihatnya buat pertama kali pun akan terpesona.
Sememangnya Perodua menyasarkan golongan muda seperti keluarga kecil yang ada kurang tiga anak daripada kumpulan M40 sebagai pembeli utama QV-E. Golongan ini pastinya mengimpikan sebuah EV yang bergaya selain praktikal untuk kegunaan keluarga.
Sama ada mahu menambah jumlah kereta sedia ada atau menggantikannya terus dengan yang baharu. Kegunaannya sebagai pengangkutan harian pergi-balik kerja atau bersiar-siar ke bandar atau pekan berhampiran pada hujung minggu.
Perodua juga menyasarkan pembeli sub atau pembeli sekunder dalam kalangan anak-anak golongan berada atau T20 yang tinggal dengan ibu bapa. Pastinya mereka akan sukakan reka bentuk yang mengikut perkembangan semasa seiring gaya hidup menjurus pada penjagaan alam sekitar.
Kereta ini mungkin kenderaan pertama mereka yang bakal digunakan untuk ke kolej dan keluar dengan kawan-kawan pada hujung minggu.
Bagaimana pula dengan sentuhan dalaman QV-E? Adunan canggih dan karakter sport disusun menerusi reka bentuk mendatar dengan pencahayaan ambien mencetuskan rasa mewah dan bergaya.
Selain cermin pandang belakang digital yang memberikan imej lebih tajam dan pandangan lebih luas, terdapat butang SOS satu sentuhan dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Namun, ada dua ciri terbaharu dan menarik pada QV-E iaitu Sistem Pengesanan Kanak-kanak (CPD) dan Perkhidmatan Kecemasan SOS. CPD adalah teknologi keselamatan yang akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya anak bahkan haiwan peliharaan mereka tertinggal di dalam kereta.
Pengesanan ini menggunakan sistem penderiaan terus selepas kenderaan dikunci dan enjin dimatikan. Ia boleh mengesan sebarang pergerakan dan tanda-tanda hayat seperti pernafasan di tempat duduk belakang dan ruang lantai.
Ini termasuk dalam keadaan kabin gelap gelita pada waktu malam atau ruang tertutup. Pengesanan amat efektif apabila suhu di dalam kenderaan berada antara 40 hingga 85 darjah Celsius.
Pemandu akan menerima amaran sama ada melalui bunyi hon; nyalaan lampu isyarat kecemasan; pemberitahuan dalam aplikasi atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Perkhidmatan Kecemasan SOS pula memastikan bantuan pantas dan boleh diharap daripada Pusat Panggilan Perodua jika berlaku kemalangan atau kerosakan. Sistem ini disokong oleh data kenderaan yang disahkan untuk penghantaran bantuan penyelamatan dengan pantas daripada Mers 999.
Seperti kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, spesifikasi serta ciri-ciri unik pada QV-E mampu mencetuskan pengalaman pemanduan stabil buat para pelanggannya.
Beliau membayangkan jika terlalu banyak spesifikasi dan ciri-ciri canggih dipasang, berkemungkinan para pelanggannya yang sudah biasa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) sebelum ini akan ‘terkejut’ dengan perubahan mendadak apabila bertukar kepada EV.
Tambahnya, sebab itu penghasilan reka bentuk QV-E mengambil kira elemen-elemen tempatan. Sebagai contoh, corak kotak-kotak pada teduhan lampu diinspirasikan daripada elemen batik. Begitu juga komponen plastik adalah menggunakan panel tempatan.
“Kita bukan jual produk tapi kita jual perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. Kita mahu mereka menikmati ciri-ciri terkini EV kita yang lahir (dicipta) di sini.
“Kita juga mahukan maklum balas daripada mereka supaya dapat menghasilkan yang lebih baik bagi model EV selepas ini,” katanya ketika sesi soal jawab dalam program berkenaan.
Bagaimanapun, Zainal Abidin memberitahu, tidak semua elemen tempatan boleh disumbat masuk ke dalam reka bentuk QV-E tetapi segala keperluan mengambil kira maklum balas rakyat tempatan. Contohnya, perbatuan bagi ketahanan bateri, kelajuan, tork.
“Pada peringkat permulaan menghasilkan kenderaan ini, saya beritahu kepada pereka bahawa mesti ada sesuatu yang kita boleh tetapkan untuk mencetuskan trend dalam industri EV.
“Kita nak jadi pencetus trend, kita tidak mahu tiru. Kita mesti hasilkan trend untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Saya berpeluang memandu uji QV-E di litar SIC. Meskipun sekadar memandu satu pusingan dalam litar sepanjang 5.5 kilometer (km), ia sedikit sebanyak memberikan keyakinan terhadap keupayaan serta kestabilan QV-E di laluan lurus dan berselekoh tajam.
QV-E dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik dan bateri (BEV) tanpa enjin pembakaran dalaman. Motor elektrik ini mampu menjana kuasa sebanyak 150 kilowatt (kW) dan menghasilkan tork 285 Newton meter (Nm) daripada bateri voltan tinggi (HV) berkuasa 52.5 kilowatt jam (kWh).
Ia mampu mencecah kelajuan dari 0 ke 100 kilometer per jam (km/j) dalam 7.5 saat. Laju maksimum adalah 165 km/j dan ketahanan bateri mampu pergi sehingga 445 km.
Projek pembuatan QV-E bermula pada Ogos 2023 dengan nama kod P01A menggunakan 266,000 jam kerja manusia untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja. Ia menelan kos sebanyak RM800 juta.
Ia adalah produk pertama Perodua yang dibangunkan berdasarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Pembangunannya meliputi setiap aspek BEV, iaitu sumbangan kepada ekosistem automotif BEV (pembangunan bakat, pengeluaran tempatan, sokongan kepada polisi-polisi EV); meningkatkan pengalaman pengguna; dan pertimbangan alam sekitar.
Sasaran jualan adalah 500 unit sebulan pada suku keempat 2026 dan selepas itu berpotensi menjadi 3,000 unit sebulan.
Sasaran pembuatan tempatan sepenuhnya pula adalah 50 peratus pada 2026 dan 70 peratus menjelang 2030. Sepanjang tempoh sehingga 2026, pembekal tempatan akan dilibatkan sepenuhnya dari peringkat permulaan pembangunan ekosistem.
Menjelang 2026, Perodua menyasarkan pasaran eksport dan pembekal tempatan juga akan diberikan keutamaan termasuk sekiranya melibatkan kilang di luar negara. Pengeluaran besar-besaran bermula Disember tahun ini dan semua harta intelek dimiliki oleh Perodua termasuk platform.
QV-E ditawarkan pada harga RM80,000 dengan dua pilihan warna iaitu Ice Blue (biru) dan Caviar Grey (kelabu).
Bateri voltan tinggi pada QV-E dimiliki oleh Perodua dengan kaedah sewaan sebanyak RM275 sebulan secara kontrak selama sembilan tahun atau 108 bulan. Prestasi bateri dijamin sepenuhnya oleh Perodua termasuk insurans sepanjang kontrak sewaan. – UTUSAN










