DALAM dunia pendidikan tinggi semakin kompleks, pentadbir akademik memainkan peranan jauh lebih besar daripada apa yang dapat dilihat secara zahir.
Mereka bukan sekadar penyandang jawatan atau pelaksana rutin, tetapi arkitek sistem akademik bagi memastikan universiti beroperasi secara tersusun, kompetitif dan mematuhi piawaian antarabangsa.
Jika pensyarah ialah wajah universiti, pentadbir akademik ialah jantungnya. Tanpa mereka, tidak mungkin wujud sistem program, takwim, penilaian, akreditasi, atau operasi akademik yang konsisten.
Namun, tugas ini sering tidak kelihatan dan kadangkala dipandang enteng, walaupun realitinya jauh lebih rumit.
Tambahan pula, ramai pentadbir akademik turut memegang tugas sebagai pensyarah. Mereka perlu masuk kelas, menyediakan bahan pengajaran, membimbing pelajar, menyiapkan penyelidikan, menerbitkan artikel berindeks, menghadiri persidangan, dan pada masa yang sama mengurus operasi jabatan atau fakulti.
Peranan korporat pentadbir akademik semakin ketara dalam era universiti moden. Universiti kini bersaing di peringkat global untuk mendapatkan pelajar terbaik, rakan industri, dana penyelidikan dan kedudukan dalam sistem penarafan antarabangsa.
Pentadbir akademik perlu menguasai pengurusan risiko, analisis data, perancangan strategik dan tadbir urus.
Mereka menyediakan laporan berkala kepada Senat, kewangan dan pihak pengurusan tertinggi, selain merancang bajet fakulti, memantau perbelanjaan, mengurus perolehan, dan memastikan pematuhan terhadap audit dan prosedur operasi standard (SOP).
Mereka juga mengurus hubungan dengan industri, badan profesional dan agensi kerajaan..
Dalam mengurus operasi harian fakulti, pentadbir akademik berdepan pelbagai situasi kompleks memerlukan ketangkasan keputusan. Konflik antara staf, ketegangan beban tugas, aduan pelajar, tekanan audit, cabaran teknologi dan perubahan dasar adalah lumrah.
Mereka perlu mendengar dengan empati, bertindak dengan objektif dan membuat keputusan dengan integriti walaupun kadangkala berisiko tidak popular.
Keupayaan mereka mengawal situasi inilah yang memastikan kestabilan organisasi akademik, walaupun ribut berlaku di belakang tabir.
Di tengah-tengah segala kepadatan tugas ini, mereka masih terikat dengan penunjuk prestasi utama (KPI) sebagai pensyarah.
Mereka perlu menerbitkan artikel, mendapatkan geran penyelidikan, menyelia tesis, membentangkan kertas kerja dan aktif dalam aktiviti komuniti akademik.
Waktu kerja mereka tidak terhenti pada jam pejabat; mesyuarat sering berlangsung selepas waktu mengajar, laporan perlu disiapkan segera, dan segala isu akademik perlu diselesaikan dengan kadar segera demi kelangsungan operasi universiti.
Hakikatnya, kejayaan institusi tidak akan tercapai tanpa dedikasi luar biasa pentadbir akademik yang memikul beban berganda ini.
Sudah tiba masanya peranan mereka diberikan pengiktirafan sewajarnya. Pentadbir akademik bukan sekadar pelaksana dasar atau pengurus fail; mereka adalah pemimpin strategik yang memastikan universiti terus stabil, relevan dan dihormati.
Mereka mengangkat maruah organisasi melalui ketelitian, kerja senyap dan disiplin kerja yang jarang dapat dilihat tetapi terasa kesannya. Universiti harus menghargai pentadbirnya supaya lebih berdaya tahan, lebih inovatif dan lebih kompetitif di peringkat global.
Mereka ialah wira senyap bekerja tanpa sorotan, tetapi hasilnya terpancar pada setiap graduan yang mendaki pentas konvokesyen dan setiap kejayaan universiti yang diraikan masyarakat.
Tanpa mereka, universiti hanyalah bangunan tanpa arah; dengan mereka, universiti menjadi institusi bermaruah yang membina masa depan negara. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. IDAYA HUSNA MOHD.
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
UiTM Kampus Puncak Alam










