Teknologi beri nilai tambah industri getah tempatan

Teknologi beri nilai tambah industri getah tempatan

JOHARI Abdul Ghani ketika lawatan ke reruai pameran sempena Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi penghasilan menjadi pemangkin dalam mencipta nilai tambah industri getah tempatan dan memperkukuh kedudukan negara di peringkat global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kekuatan teknologi dan inovasi tempatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana kekuatan teknologi negara ini sudah diiktiraf dunia.

Katanya, sistem R&D negara diiktiraf dunia dan mampu membantu negara pengeluar lain mengamalkan amalan kemampanan termasuk melalui sistem Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) serta teknologi Rubber Market Efficiency (RME) yang dibangunkan agensi penyelidikan tempatan.

“Walaupun keku rangan pengeluaran getah asli, kekuatan teknologi dan R&D dimiliki menjadikan negara diiktiraf di seluruh dunia.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi menegaskan syarikat-syarikat tempatan tidak menghadapi masalah mengimport getah asli, memprosesnya di dalam negara, seterusnya mengeksport produk itu kepasaran antarabangsa dengan mengunakan teknologi dan kepakaran tempatan.

“Untuk pengetahuan semua, nilai import getah asli negara mencecah hampir RM7.5 bilion setahun, seterusnya dapat ditingkatkan nilai tambahnya melalui pemprosesan dan teknologi tempatan,” katanya pada Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Johari berkata kementerian sedang melihat pendekatan baharu bagi mengaktifkan semula kirakira 400,000 hektar kawasan yang tidak diusahakan, termasuk melalui kerjasama agensi seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA agar kegiatan di peringkat huluan dapat dipertingkatkan secara lebih efisien.

Beliau turut menegaskan penyelidikan dan pembangunan LGM berjaya melahirkan lebih daripada 200 teknologi serta ratusan paten, yang menjadikan Malaysia sebagai pusat inovasi getah global.

“Strategi LGM 2026–2030 terus memberi tumpuan kepada automasi, robotik, kecerdasan buatan, geospatial dan digitalisasi bagi memastikan industri getah menjadi lebih pintar, mesra alam dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin dengan kekuatan R&D, Malaysia terus muncul sebagai peneraju teknologi getah global meskipun bukan lagi pengeluar terbesar getah asli.

“Saya berharap LGM dan RISDA dapat disatukan sebagai tonggak utama sektor getah di peringkat huluan dan hiliran pada masa depan bagi memastikan industri terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×