PONTIAN: Seorang penunggang motosikal terbunuh, manakala dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal di KM1 Jalan Seri Menanti – Kayu Ara Pasong, lewat tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendan Abd. Hamid Abdul Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 4.50 pagi melibatkan tiga buah motosikal jenis Yamaha 135LC.
Menurut Abd Hamid, mangsa yang terbunuh ialah pekerja kilang, Mohd Idham Mohd Khair, 25, dari Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan.
“Dua penunggang motosikal berusia 18 dan 19 tahun, patah kaki kiri serta patah bahu kiri dan luka-luka badan, kini dirawat di Hospital Pontian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Abd. Hamid berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa dari arah Seri Menanti ke Kayu Ara Pasong, manakala kedua-dua penunggang motosikal tersebut dari arah bertentangan.
“Sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Mohd Idham telah hilang kawalan lalu memasuki laluan sebelah kanan menyebabkan berlakunya pertembungan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Pontian atau menghubungi Inspektor Tong Siew Fen di 010-2090396 untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN