Rasionalisasi RON95 langkah awal sebelum pelaksanaan Cukai Karbon

Rasionalisasi RON95 langkah awal sebelum pelaksanaan Cukai Karbon

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rasionalisasi subsidi petrol antara langkah awal sebelum pelaksanaan Cukai Karbon yang dijadualkan pada 2026 dalam usaha mencapai sasaran jangka panjang untuk mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, konsep cukai karbon merupakan satu mekanisme untuk ‘memaksa’ industri beralih kepada operasi yang lebih hijau, namun asas yang baik perlu ditetapkan sebelum ia dilaksanakan.

“Masih terdapat gangguan yang wujud dalam sistem, misalnya subsidi masih diberikan kepada sektor tenaga dan perkara utama yang kami cuba lakukan ialah mengurangkan subsidi.

“Tidak masuk akal untuk mencukai (karbon) satu pihak dan pada masa yang sama, memberikan subsidi menyeluruh untuk petrol, diesel dan sebagainya.

“Tahun lepas kami mengapungkan harga diesel. Tahun ini, niatnya adalah untuk RON95 dan dengan melakukan perkara ini, kami menghapuskan gangguan bagi pelaksanaan (polisi, dasar dan usaha bagi mencapai Sifar Bersih),” katanya dalam forum ‘Menjayakan Peralihan Tenaga Malaysia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Sesi itu turut disertai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.  Pengerusi Cypark Resources Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar bertindak sebagai moderator.

Cukai Karbon antara langkah paling menonjol yang disebut dalam Belanjawan 2025 yang akan mula berkuat kuasa menjelang 2026 ke atas sektor-sektor yang menghasilkan pelepasan karbon tinggi seperti industri besi, keluli dan tenaga.

Tujuan utamanya adalah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan mengenakan fi kepada syarikat yang terlibat dalam aktiviti yang menghasilkan karbon dalam jumlah yang besar.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, selepas mengapungkan diesel tahun lalu, kerajaan secara serta-merta melihat perubahan yang baik, di mana Malaysia bukan lagi tempat yang murah untuk sumber bahan api sebelum diseludup keluar. 

“Kami juga mengubah cara bahawa diesel dibekalkan kepada industri, jadi orang tidak datang mengambil apa yang berorientasikan untuk rakyat dan menggunakannya untuk komersial. Bagi operasi komersial, anda perlu membayar harga pasaran. 

“Mekanisme pasaran yang baik cukup untuk membersihkan gangguan yang wujud,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN