PETALING JAYA: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia turun susulan perubahan harga pasaran minyak dunia.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga runcit RON97 dikurangkan sebanyak 8 sen kepada RM3.16 seliter, RON95 tanpa subsidi sebanyak 6 sen kepada RM2.56 seliter sementara diesel sebanyak 8 sen kepada RM2.94 seliter.
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 25 Disember 2025 hingga 31 Disember 2025 adalah ditetapkan harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 8 sen kepada RM3.16 seliter, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi diturunkan sebanyak 6 sen kepada RM2.56 seliter.
“Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 8 sen kepada RM2.94 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – UTUSAN










