KULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah stesen minyak di sini atas kesalahan dibawah Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu susulan siasatan dibuat mendapati pengusaha stesen minyak disyaki melanggar arahan pengawal bekalan berhubung larangan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan telah diambil dan semakan telah dibuat bagi membantu siasatan.
“Kami jalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas stesen minyak berkenaan susulan aduan serta penularan video di media sosial berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik menutup sebahagian nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan.
“Siasatan mendapati pembelian tersebut dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di salah satu pam di stesen minyak berkenaan tanpa membabitkan pengesahan identiti di kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati individu terbabit hanya sempat mengisi sebahagian daripada jumlah pembelian sebelum perbuatan itu dihentikan.
“Sehubungan itu, tindakan diambil kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
Semalam tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan dua individu yang mengisi minyak RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dengan sebahagian nombor plat ditutup pelekat berwarna hitam. – UTUSAN










