KULAI: Pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang tular kerana menutup sebahagian nombor plat untuk mengisi petrol RON95 didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Orang kena saman (OKS), Long Sa Kow, 64, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Hukuman terhadap OKS dijatuhkan Majistret R. Salini selepas OKS mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Sa Kow sebagai pemandu kereta Volkswagen Jetta berwarna perak didapati telah mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan tersebut di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam pada pukul 10.30 malam, 2 Januari 2026.
OKS didakwa mengikut Seksyen 108 (3) (e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd. Zulkifli meminta mahkamah memberikan hukuman ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.
“Tertuduh sudah bersara dan menanggung seorang isteri serta tiga orang anak di mana dua daripadanya masih belajar. Dia juga sudah bersara jadi tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya pula meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada OKS tetapi juga kepada masyarakat awam agar tidak melakukan kesalahan sama.
Minggu lalu, tular rakaman video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan dua individu yang mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dengan sebahagian nombor platnya ditutup pelekat berwarna hitam. – UTUSAN










