SEREMBAN: Projek pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Lukut-Kampung Si Rusa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, apabila siap kelak berkata laluan alternatif sepanjang 10 hingga 13 kilometer itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama Port Dickson.
“Taklimat terbaru yang diterima memaklumkan bahawa kerja pembinaan berada di landasan yang betul, dengan kemajuan ketara dicapai di beberapa lokasi utama,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata, fasa pertama projek dijangka akan diserahkan dalam masa terdekat kepada pihak berkuasa tempatan untuk digunakan oleh masyarakat setempat.
Mengulas mengenai perubahan jajaran berhampiran kawasan tertentu, Aminuddin memaklumkan bahawa langkah proaktif telah diambil bagi mempercepatkan proses pengambilan tanah.
“Sebahagian besar isu berkaitan tanah telah diselesaikan, membolehkan kerja-kerja pembinaan diteruskan tanpa penangguhan besar,” katanya yang memberitahu projek itu turut melibatkan pembinaan beberapa jambatan.-UTUSAN