KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul melantik Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai anggota baharu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).
Menteri Besar Negeri Sembilan itu menggantikan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini memegang jawatan berkenaan.
Usul pelantikan tersebut dibawa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran sebelum diluluskan melalui undian majoriti Ahli Parlimen.
Selain Aminuddin, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban).
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang); Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
JPKP berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap dasar serta pelaksanaan kerajaan di peringkat Parlimen.
Penubuhannya bertujuan memastikan perjalanan demokrasi yang lebih telus, di samping memberi ruang kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang menilai dasar secara bipartisan.
Sebelum ini, jawatankuasa itu telah meneliti pelbagai isu melibatkan perubahan dasar kerajaan, termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU Anti-Lompat Parti, kes tuntutan waris Sultan Sulu serta cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya. – UTUSAN










