Aminuddin bidas cadangan tukar nama Port Dickson

Aminuddin bidas cadangan tukar nama Port Dickson

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya nama daerah Port Dickson kepada Pantai Dermaga dibidas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, cadangan itu disifatkan sebagai tidak konsisten dan ‘separuh masak’.

Menurutnya, Port Dickson sudah sinonim sebagai pusat peranginan pantai, maka sebarang cadangan penukaran nama tidak boleh dibuat secara terpilih.

“Jika mahu menukar, lakukan secara menyeluruh di seluruh negara. Jangan dibuat satu-satu kerana ia akan mengambil masa yang lama. Pulau Pinang contohnya boleh dilaksanakan dengan menukar Georgetown kepada nama baharu sekali gus,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Cadangan pertukaran nama Port Dickson itu dikemukakan beberapa NGO yang mendakwa langkah tersebut penting bagi menyelamatkan identiti kebangsaan daripada terus dicemari peninggalan penjajah Inggeris.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada usaha memasarkan produk halal ke Qatar selain meneroka kerjasama dengan negara berkenaan bagi mengangkat produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

Kata beliau, hasil perbincangan awal mendapati Qatar bersetuju pelabuhan di negara itu sebagai pintu masuk barangan halal dari Negeri Sembilan ke pasaran Asia Barat.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada kilang-kilang bertaraf antarabangsa yang beroperasi di negeri ini menembusi pasaran lebih luas. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan memperhalusi kerjasama bersama syarikat di Qatar, termasuk cadangan pelaburan bersama.

” Negeri Sembilan turut menerima jemputan ke Qatar pada Januari depan bagi meneruskan rundingan tersebut,” katanya mengenai pertemuan dengan Duta Besar Qatar ke Malaysia Salah Mohamed Al-Sorour baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN