SEREMBAN: Kerja-kerja tambah baik kemudahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi di sini akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara fokus tambah baik itu adalah penambahan bilangan kerusi, menaik taraf tandas, serta penyediaan ruang solat yang lebih selesa.
Kata beliau, perkara itu akan dilaksanakan selepas menerima maklum balas dan rungutan penyokong bola sepak yang hadir beramai-ramai pada perlawanan Liga Super di antara pasukan Negeri Sembilan FC dan Selangor FC pada malam Ahad lalu.
“Insya-Allah, kerja baik pulih akan dilaksanakan. Kami mohon sedikit kesabaran daripada penyokong dan akan pastikan segala keperluan ini diuruskan dengan sebaiknya,” katanya pada sidang akhbar selepS mempengerusikan Mesyurat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata lagi, kehadiran lebih 25,000 penyokong pada perlawanan itu telah menyebabkan beberapa kekangan daripada segi keselesaan dan akses kemudahan.
“Tandas memang kami pastikan bersih dan ada bekalan air yang mencukupi. Ruang solat juga disediakan walaupun tidak sepenuhnya sempurna. Kami akui masih banyak ruang penambahbaikan.
“Kami belum capai tahap lima bintang namun kemudahan memang perlukan naik taraf. Kerajaan negeri ambil maklum dan komited untuk bertindak segera,” katanya. – UTUSAN










