PN gesa batal peluasan SST, dibincang dalam Belanjawan 2026

PN gesa batal peluasan SST, dibincang dalam Belanjawan 2026

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional menggesa kerajaan agar tidak melaksanakan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini di samping menuntut perkara itu dibincangkan dalam Belanjawan 2026.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya percaya SST yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Katanya, menekan rakyat biasa menerusi cukai yang tidak masuk akal semata-mata untuk menambah hasil kerajaan sebanyak RM10 bilion tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Ke manakah hasil RM10 bilion ini akan dibelanjakan? Kenapa kerajaan tidak menunggu pelaksanaan peluasan skop SST sehingga pembentangan Bajet 2026 supaya ahli-ahli Parlimen boleh membahaskan rasional peluasan cukai ini?

Saya menggesa supaya peluasan skop SST dan cadangan kenaikan tarif elektrik dibatalkan. Kerajaan mesti mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara, bukan dengan berterusan membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, walaupun SST dikatakan bersasar, kesan kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup akibat peluasan skop cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai oleh seluruh rakyat. 

“Kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksakan rakyat di peringkat bawah dan pertengahan yang merupakan 85 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Rakyat dibebankan lagi dengan peluasan cukai SST. Daripada 8,094 barangan yang dikecualikan daripada SST sebelum ini, hanya 1,813 barangan sahaja yang masih dikecualikan,” katanya.

Muhyiddin berkata, lebih 90 peratus barangan telah dikenakan SST termasuk barangan keperluan asas seperti gula, garam, ikan, sayur dan buah-buahan.

“Buah epal, pisang dan oren pun dikenakan cukai. Ini bukan makanan orang kaya. Ia sejak zaman berzaman adalah makanan rakyat biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN