PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen dwipartisan bagi memantau proses pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan termasuk Ketua Hakim Negara.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gesaan di bawah pengawasan Parlimen yang seimbang itu bagi menjamin akauntabiliti tanpa mengganggu kebebasan kehakiman.
Beliau berkata, PN juga mencadangkan agar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1988 dikaji semula dengan tujuan mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang yang setara dalam pemerintahan (co-equal branch of government).
“Ketelusan dalam pelantikan hakim dengan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mesti diberi ruang sewajarnya untuk melaksanakan fungsinya tanpa tekanan politik khususnya daripada pihak eksekutif.
“Perdana Menteri mesti memberi komitmen terbuka akan bertindak semata-mata berlandaskan fungsinya di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan serta tidak akan mencampuri proses pelantikan kehakiman sekaligus menghormati sepenuhnya doktrin pengasingan kuasa (the doctrine of separation of powers).
“Justeru nama-nama disyorkan hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti, bukan atas hubungan atau kecenderungan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu pelantikan kehakiman timbul susulan ucapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada ucaptama di Persidangan Perundangan Komanwel ke-24 di Malta, 8 April lalu.
Tengku Maimun berkata, ada cadangan untuk meminda JAC 2009 dan Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.
Dua hari kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyatakan komitmen reformasi untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja JAC.
Menurutnya, kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN