PETALING JAYA: Lebuhraya PLUS telah mengaktifkan 30 Smart Lane di sepanjang lebuh raya kelolaannya bagi memastikan aliran trafik lancar sempena cuti Aidiladha.
Pembukaan Smart Lane tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya semasa orang ramai pulang ke ibu kota selepas bercuti di kampung halaman.
Setakat pukul 2 petang, aliran trafik semasa menunjukkan aliran perlahan dengan pertambahan bilangan kenderaan orang ramai yang mula kembali ke ibu kota hari ini.
Lebuhraya PLUS di bahagian selatan masih dalam keadaan perlahan terutama di laluan Port Dickson, Jasin dan Kajang.
Sementara itu, lebuh raya Karak ke Kuala Lumpur juga dalam aliran perlahan di laluan Bentong dan Gombak.
Melalui tinjauan Utusan Malaysia di laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pula mendapati, kenderaan ke arah Kuala Lumpur semakin bertambah menyebabkan pergerakan trafik perlahan.
Bagaimanapun, keadaan trafik lancar di Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2, namun di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 laluan Karak trafik masih perlahan. – UTUSAN